Malaysia Oversight

Selamat tinggal 2025 yang bercelaru

By MkiniBM in January 5, 2026 – Reading time 3 minute
Selamat tinggal 2025 yang bercelaru


ULASAN | Saya akan cuba mengupas serba sedikit kecelaruan yang berlaku pada tahun 2025 yang perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak tertentu.

Ini termasuklah cacamarba dalam FAM sehingga Malaysia tercela dan tercalar dengan dakwaan pemalsuan dokumen.

Perkara pertama sekali yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana kemelut yang berlaku di dalam persatuan bola sepak Malaysia telah meletakkan nama Malaysia terkenal di seluruh dunia tetapi atas perkara yang salah.

Hal itu disebabkan terlalu hendak mengejar kejayaan segera sehingga melibatkan pemalsuan dokumen tujuh pemain antarabangsa dari Argentina, Brazil, Belanda dan Sepanyol.

Tujuh pemain “warisan” tersebut –Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irrazabal, dan Hector Hevel – telah digantung 12 bulan oleh Fifa pada akhir 2025 kerana isu dokumen berkaitan status kelayakan mereka.

Ia menyebabkan nilai pasaran mereka jatuh dan FAM didenda RM1.8 juta meskipun kes tersebut dirayu di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Hasil siasatan Fifa, moyang mereka bukanlah berasal dari Melaka, Pulau Pinang mahupun Johor sebaliknya Sepanyol, Argentina, Brazil, dan Belanda.

Persoalan yang timbul di sini ialah apa yang berlaku kepada pembangunan bola sepak negara kita? Kita mempunyai kira-kira 35 juta penduduk namun gagal bersaing dengan negara-negara sekelis Curacao dan Cape Verde yang masing-masing berpopulasi kira-kira 155,000 orang dan 556,000 orang.

a72b19d54d2a3cc6fba526a427fde846

Peluang anak tempatan menyerlah

Sesetengah kita juga percaya bahawa untuk bergerak maju dalam bola sepak kita perlu banyakkan pemain naturalisasi dan mencari pemain warisan kerana pemain-pemain kita tidak sampai ke tahap yang diperlukan.

Tetapi sejarah membuktikan bahawa pemain-pemain tempatan kita telah membawa kita ke Olimpik, memang pingat emas sukan SEA, menang Piala AFF dan ranking kita sampai ke tempat 75 terbaik dunia.

Jepun, Korea pernah menjadi saingan kita dan Malaysia pernah mengalahkan mereka. Cuma sekarang ini kita boleh kecundang pada pasukan kedua atau ketiga mereka.

Negara terbabit memajukan sukan dengan sains selain menghantar pemain masing-masing ke liga-liga utama dunia di Eropah.

Kita? Masih di takuk lama dan mengharapkan ‘orang putih’ bermain untuk Malaysia. Nampaknya fikiran kita belum merdeka.

Apa pun keputusan di CAS nanti, kita kena mulakan kembali pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi sama seperti dahulu.

a82cd15f2a1dd02dbbe89b6e4ea2297c

Projek seperti mencari Ramlee 19, Harimau Muda dan lain-lain mesti dihidupkan semula. FAM perlu dirombak dan pemilihan pemain perlu bermula di peringkat sekolah, daerah dan negeri dilaksanakan secara profesional dan tiada pilih kasih.

Memandangkan kita tiada negeri dan kelab yang banyak, sewajarnya pembabitan pemain import dihadkan kepada tiga atau empat orang sahaja. Ia bagi memberi peluang kepada anak tempatan menyerlah seperti yang pernah kita saksikan pada dekad-dekad lalu.

Lebih baik lambat dan selamat berbanding segera tetapi kemudian terhina.

Politik sempit dan menyedihkan

Dari aspek politik pula, nampaknya sesetengah kita masih dibelenggu siasah sempit perkauman. Sudah 2026, politik kafir mengkafir masih berlaku walaupun ia tidak seterang-terangan dekad 1980-an lalu.

Paling menyedihkan ialah apabila dihukum mahkamah ekoran pertuduhan terkait 1MDB, ramai menganggap ia adalah petanda Melayu terancam.

Sebenarnya Najib masih boleh merayu, bermula di Mahkamah Rayuan, kemudian jika masih gagal, tersedia Mahkamah Persekutuan. Kita boleh saja bersimpati tetapi untuk menyokong sesuatu yang didapati salah di sisi undang-undang adalah sesuatu yang tidak wajar.

Rasuah telah merosakkan negara.

Terjadi juga krisis negeri seperti di Perlis ketika pembangkang sepatutnya perlulah memainkan peranan sebagai mekanisme semak dan imbang secara lebih berkesan, bukannya dengan mainan perasaan.

Perbuatan seperti membaca Qunut Nazilah kepada pihak lawan semata-mata kerana berbeza parti adalah sangat tidak cerdik dan memualkan.

755716177fc68e769227be5a88d18a7e

Berhubung dunia perfileman, kelihatan ada rasa gembira dan kecewa yang mendalam. Pada pandangan saya kita masih gagal melahirkan filem-filem yang meninggalkan kesan seperti Ibu Mertuaku, Dia Ibuku, Esok Masih Ada, Bukit Kepong dan banyak lagi.

Filem tempatan yang mendapat sambutan pada 2025 ialah Blood Brothers (kutipan tertinggi), Ejen Ali: The Movie 2, Malam Terlarang dan Gayong, dengan filem lain seperti Keluang Man, Soloz: Game of Life, dan Telaga Suriram juga mencatat kutipan memberangsangkan.

Blood Brothers dan Gayong berada dalam kelas tersendiri kerana aksi-aksi yang dipaparkan serta sinematografinya sangat menarik dan bertaraf antarabangsa.

Saya yang meminati lakonan Maya Karin, Anna Jobling, Saiful Apek serta Yassin tentulah ternantikan filem Duyung 2. Filem itu nampaknya dikritik teruk. Justeru diharapkan Abdul Razak Mohaideen, tolonglah buat filem yang bagus sikit.


SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam yang pernah bertugas sebagai peguam syarie di Brunei Darussalam sebelum bersara pada hujung 2023. Dia kini menjadi penulis dan penceramah bebas dalam bidang undang-undang keluarga .

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Source link