Beberapa pihak sebelum ini mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki meletak jawatan atau mengambil cuti susulan namanya dikaitkan dengan satu skandal.
Namun, pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (PSSC) mempunyai pandangan berbeza.
William Leong berkata sekadar menyebut nama seseorang tidak memadai untuk menggesa individu itu bercuti sementara siasatan dijalankan.
“Ia sangat bergantung kepada fakta dan bukti. Sekadar disebut nama tidak cukup untuk mengarahkan seseorang mengambil cuti.
“Saya fikir mesti ada bukti tertentu sebelum seseorang diarahkan bercuti,” katanya kepada Malaysiakini.
Dalam satu video pada 25 Nov, seorang wanita yang mendakwa dirinya proksi kepada Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pemimpin PKR itu bertemu Azam pada waktu yang tidak didedahkan bagi meminta Ketua Pesuruhjaya SPRM itu “menyelesaikan” kes melibatkan ahli perniagaan Albert Tei, merujuk kepada skandal perlombongan di Sabah.
“Dia (Shamsul) sendiri yang minta kalau boleh ringankan kes kamu, kalau boleh cuba selesaikan sebaik mungkin. Jangan sampai perkara itu berlarut-larut sampai banyak-banyak. Dia tak nak,” kata wanita itu.

Wanita itu turut mendakwa Shamsul yang merupakan setiausaha politik perdana menteri ketika itu bertemu Azam kerana dirinya juga dikaitkan dengan skandal berkenaan dan dipanggil oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
“Dia (Shamsul) jumpa Azam Baki sebab dia pun terbabit.
“Dia cakap dengan saya. Dia cakap masa kes kamu dia pun kena panggil dengan Azam Baki. Dia cakap dengan Azam Baki memang dia ada tolong kamu untuk jumpa (ketua menteri sementara) Hajiji (Noor) apa semua. Dia bagi tahu untuk beritahu Hajiji, dia dengan Azam Baki pun baik, bukan dia tak baik,” katanya.
Apabila Tei bertanya sama ada Shamsul memberitahu Azam bahawa rakaman skandal Sabah itu “arahan PMX”, wanita itu menjawab: “Azam tahu.”
‘Tiada kredibiliti untuk menyiasat’
Peguam Tei, Mahajoth Singh kemudian menggesa Azam meletak jawatan atau mengambil cuti serta menegaskan bahawa SPRM tidak boleh menyiasat dakwaan itu secara sah atau berwibawa selagi Azam masih mengetuai suruhanjaya tersebut.
Dua ahli Parlimen, Ahmad Fadhli Shaari dan Hassan Abdul Karim turut menggesa Azam menarik diri daripada siasatan skandal perlombongan berkenaan, dengan Hassan turut meminta agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim disiasat sekiranya video itu terbukti tulen
Shamsul pula meletak jawatan sebagai setiausaha politik Anwar dan membuat laporan polis berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
Dia dijadualkan memberi keterangan kepada SPRM hari ini.






