Malaysia Oversight

Sejarah kita: Menjarah atau menjajah?

By MkiniBM in November 13, 2025 – Reading time 5 minute
Sejarah kita: Menjarah atau menjajah?


Buat kesekian kalinya kita disodorkan lagi dengan polemik sejarah dalam media sosial oleh figura yang sama. Atas nama kajian akademik, Profesor bidang kajian linguistik Arab yang bernama Solehah tersebut berulang kali menimbulkan keributan awam dengan dakwaan-dakwaan yang mencabar kemampuan fikir orang awam dan khalayak terpelajar di universiti yang digelar sarjana itu.

Dakwaan-dakwaan beliau bukan kecil anak, bukan dilontarkan dengan nada bersahaja tetapi penuh keyakinan. Sebelum ini, beliaulah orangnya yang mengesahkan seorang lelaki Arab-Maghribi bernama Mawla Amin yang mendakwa diri daripada jurai keturunan Rasulullah, Ahlul-bayt.

Profesor inilah yang menerima kunjungan lelaki ‘scammer’ tersebut ke pejabatnya, sebelum mengeluarkan kenyataan bahawa si Mawla ini memang sahih daripada keturunan Rasulullah dengan jalur emas, iaitu terus-menerus dari Fatimah binti Rasulullah.

Kunjungan dan carian di Youtube atau Google bakal menemukan kita dengan puluhan laporan dan video yang menjadi bukti pengiktirafan tersebut.

19fa67fc06d80fe6cca42c4574b62d70

Sekonyong-konyong, Pertubuhan Rabithah Alawiyah Malaysia (RAM) mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan si Mawla tersebut.

Pertubuhan tersebut memang bertanggungjawab mengurus, meneliti dan mengiktiraf nasab seperti yang disebut itu. Kemudian pihak PDRM juga mengeluarkan kenyataan bahawa lelaki si Mawla tersebut memang dalam pemantauan pihak polis kerana terlibat dalam aktiviti yang mencurigakan dan disahkan oleh pihak berkuasa Maghribi bahawa ia memang tidak mempunyai sebarang perkaitan dengan keturunan mulia Rasulullah.

Jika pelakunya disahkan sebagai ‘scammer’, maka bagaimana pula dengan status orang yang dengan yakin dan bangga mengiktiraf serta mengkuduskan nasab ‘scammer’ tersebut? Siapa tipu siapa sebenarnya?

Atau masing-masing saling menunggang untuk meraih populariti? Kita tidak pasti, mereka sahajalah yang mampu menjawabnya.

Dalam konteks ilmu sejarah, sesuatu dakwaan yang besar, yang merombak pandangan sedia ada, atau yang mendatangkan sudut pandang baharu atau yang mendakwa sesuatu penemuan yang terkini, perlu didasari oleh bukti dan sumber yang sahih.

Sumber yang sahih itu belum boleh dianggap sahih selagi ia belum dinyatakan secara jelas, dinotasikan, dan dibuka untuk disemak silang. Seseorang pengkaji sejarah tidak boleh mendakwa dirinya ‘tahu’ tanpa menyatakan sumbernya. Tidak boleh juga ia mengatakan dalam kajian akademik “saya ada sumber dan data, tapi tak boleh dedah”.

Apatah lagi dalam ilmu sejarah yang sangat menitikberatkan sumber dan bukti. Malah ilmu sejarahlah yang mula-mula mencipta sistem penulisan nota kaki sepertimana yang digunakan dalam penulisan akademik hari ini bagi menjamin keabsahan dan kebolehpercayaan sesuatu dakwaan.

77c5024c7b6ddfa206d28e2bf7cd4078

Begitu teliti ilmu ini disusun supaya ia dapat dipertanggungjawabkan. Jika boleh dibandingkan, ilmu sejarah hampir menyamai keperluan ilmu hadith yang sangat teliti dalam menentukan jalur perawi, tarikh dan matan – setiap butir kata secara verbatim, demi menjaga kesucian warisan Rasulullah. Ilmu sejarah juga demikian, hanyasanya ia tidaklah melibatkan elemen akidah sepertimana dalam ilmu hadith yang mendatangkan ancaman kepada pemalsu hadith dan penyebar hadith palsu.

Dalam ilmu sejarah, kesengajaan untuk mengubah dan memanipulasi sumber, bukti dan data tidak mencalarkan akidah, tetapi bisa menggugat hubungan antara manusia dan mengancam ketenteraman awam ekoran prejudis yang ditimbulkan.

Bagaimana pula dengan hipotesis? Bolehkah berhipotesis dalam sejarah? Secara umumnya dibolehkan hipotesis dalam sejarah, sebelum ia ditentusahkan dengan kajian yang empirikal. Walau bagaimanapun, hipotesis tidak boleh sama sekali dilakukan secara semberono, walaupun ia bermaksud sebagai dugaan, agakan dan terkaan. Dalam ilmu sejarah, hipotesis adalah ‘educated guess’ – terkaan terpelajar.

Suatu terkaan yang muncul daripada penemuan awal yang bertitik tolak daripada sumber yang terpercaya. Bukannya suatu agakan simplistik daripada bacaan yang tidak tentu benarnya. Kajian seterusnya yang didorong oleh hipotesis itu pula tidak boleh ditentukan hasil akhir yang dicapai, iaitu ‘predetermined result’.

Tidak boleh ada unsur prejudis, tidak boleh bias, tidak boleh ada penghakiman moral dan tidak boleh dengan sengaja menyembunyikan sesuatu penemuan yang tidak memuaskan diri.

Ia harus diterjemahkan seperti yang disarankan oleh ahli falsafah sejarah abad ke-19, Leopold von Ranke – wie es eigentlich gewesen – menulis sejarah sepertimana ia benar-benar berlaku.

Hipotesis semberono berisiko untuk melahirkan pseudohistory – sejarah palsu (SP).

Apakah pula SP? Ia adalah cerita rekaan yang bunyinya macam sejarah, rupanya macam sejarah, tetapi bukan sejarah. Ia, walau bagaimanapun, tidak sama dengan hikayat kerana hikayat pada zahirnya pun memang orang mengenalinya sekadar cerita rekaan untuk hiburan dan inspirasi. SP sebaliknya adalah dongengan yang bersembunyi di sebalik nama sejarah. SP adalah bentuk naratif sejarah yang tidak memenuhi standard metodologi sejarah.

0026dcb52ed5e7e036c1ca7c3f3519cf

Bagi naratif SP, populariti lebih penting daripada ketulenan bukti. SP tujuannya adalah untuk membakar sentimen, menaikkan semangat, melawan ”establishment” dan meruntun emosi.

Ada segelintir orang bertanya, “apa masalahnya SP? Biarkan sahajalah ia diuruskan oleh masyarakat, kenapa nak kalut?” SP ini tuan-tuan dan puan-puan, ia ibarat berita palsu, “fake news” atau fitnah. Tetapi ia lebih bahaya kerana dibalut dengan jenama ilmu sejarah. Dihias dengan bunga bangsa dan diharumkan dengan aroma agama.

Jikalau dibiarkan tanpa sebarang reaksi, maka ia akan menguasai pemikiran masyarakat dan merosakkan pertumbuhan akal yang sihat. Ia bukan sekadar perbahasan ilmiah, walaupun pentingnya orang berilmu untuk campur tangan menegurnya, tetapi lebih daripada itu ia adalah racun yang mengganggu ekosistem hubungan antara manusia yang beradab.

47e2e898c3b1fbc37fb4dde7a1ccabaf

Masyarakat menganggap ia sebagai kebenaran yang disembunyikan, sedangkan ia adalah kepalsuan yang disolekkan. SP berisiko melahirkan kumpulan masyarakat yang hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa kerana merasakan semuanya berbohong, melainkan ia datang daripada sumber yang mereka percaya tidak berpihak kepada pihak berkuasa.

Naratif SP cenderung untuk percaya kepada teori konspirasi dan hearsay, sepertimana fenomena yang berlaku dalam media sosial sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga hubungan antara masyarakat menjadi semakin rosak dan keyakinan kepada sistem awam semakin meluntur.

Tulisan ini atau dalam mana-mana media sosial saya dan rakan-rakan yang menentang sejarah palsu sedemikian bukanlah bertujuan untuk merencatkan minat masyarakat awam terhadap ilmu sejarah. Tidak sama sekali begitu.

Tujuan kami bangkit dan melawan naratif sejarah palsu adalah untuk menghalang masyarakat kita menjadi lemau, ‘gullible and vulnerable’. Disebabkan kurang bertanya bukti dan mudah percayalah maka ramai daripada mereka sering tertipu dalam urusniaga dan pelbagai skim yang menjanjikan pulangan yang tak masuk akal.

Mengapa ini terjadi? Kerana masyarakat kita tidak dilatih untuk berfikir secara kritis, bertanyakan bukti dan menilai bukti. Ayuh kita berwacana, menanamkan kecintaan terhadap sejarah bangsa dan negara. Kita sudah berjaya membangkitkan kesedaran sejarah, sejarah yang mencerahkan akal, bukannya menjajah akal.

Apabila timbul polemik dan konflik begini, semua orang tiba-tiba jadi celik dan cakna. Ini merupakan perkembangan yang baik. Tinggal lagi, tugas kita sebagai manusia yang berilmu dan beradab adalah memandu minat dan kecaknaan ini ke arah jalan yang betul. Jalan yang lurus, bukan jalan orang yang dimurkai dan bukan pula jalan orang yang sesat.


SAHUL HAMID MOHAMED MAIDDIN pensyarah kanan Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Source link