LANGKAWI: Kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama etnik Rohingya yang berlayar dari Myanmar dipercayai dipindahkan ke dua bot berasingan sebelum salah sebuahnya karam berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
Difahamkan, pada awalnya mereka menaiki kapal induk yang membawa 300 orang sebelum dibahagikan kepada bot pertama yang dinaiki 70 mangsa dan 230 mangsa lagi dalam bot kedua.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, bot yang membawa 70 PATI itu dipercayai karam selepas lebih sejam berlayar ke arah perairan negara.
“Bagaimanapun bot kedua yang lebih besar membawa 230 PATI lagi belum diketahui statusnya sehingga kini dan ia belum dikesan oleh mana-mana pihak termasuk agensi keselamatan Thailand.
“Berdasarkan siasatan awal terhadap PATI yang diselamatkan, mereka dipindahkan ke dua bot lain ketika di tengah-tengah laut. Jadi, 70 orang ini naik bot kecil yang menghala ke perairan kita.
“Lebih kurang satu jam 30 minit berlayar pada Khamis lalu, bot itu karam walaupun tiada hujan kecuali cuaca mendung dan kadang-kala laut bergelora,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Khairul Azhar berkata, perjalanan kesemua 300 PATI yang menaiki kapal induk dari Buthidaung itu dipercayai bermula kira-kira dua minggu lalu, sebelum tiba ke perairan Malaysia-Thailand berhampiran Pulau Tarutao pada Khamis.
Ditanya kemungkinan penglibatan sindiket, katanya, siasatan lanjut masih diteruskan, namun hasil temu bual dengan mangsa terselamat menyatakan mereka berurusan dengan ejen di Myanmar dan negara ini.
“Kita dapat kesan beberapa nombor telefon dan berpandukan maklumat itu kita akan buat siasatan lebih lanjut. Kemungkinan besar ada penglibatan sindiket, malah ada dua warga Bangladesh yang diselamatkan dan mereka ini kita akan siasat lebih lagi, sama ada mereka memang mangsa atau sebagai kru bot termasuk tekong,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot kayu terbabit disyaki karam kerana keadaannya yang terlalu usang dan muatan berlebihan.
Katanya, faktor terbabit mungkin menjadi penyebab kepada insiden tersebut berdasarkan kes-kes terdahulu.
“Berkemungkinan bot kayu sudah reput dan bocor, namun mereka tetap sanggup naik dan berlayar disebabkan terdesak mahu datang ke Malaysia,” katanya.
Katanya, jarak bot berkenaan karam hanya kira-kira 2.5 batu nautika dari perairan negara.-UTUSAN






