Malaysia Oversight

Sebelum Subuh

By Utusan in August 3, 2025 – Reading time 7 minute
Sebelum Subuh


Salman.
Satu kampung masih ingat pada Salman, budak kampung Paya Gadut yang pertama dapat melanjutkan pelajaran ke Kaherah, Mesir kira-kira sepuluh tahun dahulu.

Salman, pemuda yang selalu melempar senyuman manis dari wajah melayu yang polos. Ditambah dua lesung pipi, kecil berhampiran bibir, Lain daripada yang lain.

Tubuhnya tinggi lampai, rambut sedikit ikal mayang. Kelihatan berkilat sungguh di bawah cahaya matahari ketika perhimpunan di sekolah. Kegilaan pelajar perempuan.

Bilal dan rakan-rakan lain meraikan kejayaan Salman di kedai kopi hujung kampung. Ketika itu aku cuma melihat keraian itu.

Cuma semalam, ketika awan sibuk membunuh bulan sebelum waktu subuh. Masjid Jamek Paya Gadut gempar apabila Bilal yang bertugas sebagai muazin kelam kabut lari meninggalkan ruang solat.

Mungkin terkejut beruk ketika membuka pintu utama masjid, ada sekujur tubuh terbaring kaku dengan berpakaian hitam.

Aku tahu kenapa bilal mengambil tindakan melarikan diri seperti melihat hantu. Bilal itu gemar menonton kisah seram di televisyen.

Sejak dari bangku sekolah hingga hari ini. Kalau duduk di kedai kopi selepas solat Isyak, alat kawalan jauh televisyen itu seperti menjadi hak dia.

Pelanggan lain jangan harap nak ubah, waima Tok Mat, tuan kedai kopi hujung simpang Kampung Paya Gadut. Selalu terbawa-bawa cerita seram ke dalam dunia realiti. Itu lah Bilal.

Pernah satu malam, Bilal bertumbuk dengan seorang pelanggan kerana siaran televisyen yang sedang ditonton cuba dialih oleh seorang pelanggan lain. Seorang ingin melihat kisah seram, seorang lagi ingin melihat perlawanan gusti.

Akhirnya, pergaduhan mulut tercetus setelah salah seorang pelanggan mengatakan Bilal ini sebenarnya penakut. Takut hantu. Tetapi cuba tunjuk berani di depan orang ramai.

Terpelanting kopiah Bilal selepas kecaman tajam singgah di cuping telinganya. Sebab itu, bilal lari lintang pukang. Dia memang penakut. Penakut sejak di bangku sekolah lagi.

“Ini Salman, anak arwah Pak Leh.” Ketua kampung membelek-belek wajah pemuda yang terbaring di tengah-tengah ruang solat.

Bilal cuma berdiri di belakang, badannya bergoyang. Lebih tepat mulutnya bergetar-getar seperti kesejukan walau matahari sudah garang di dada Kampung Paya Gadut. Ketakutan.

Setelah pengesahan kematian dibuat oleh pembantu perubatan dari klinik desa, tok imam berbisik pada siak dan beberapa lagi jemaah masjid.

Entah. Aku tidak mendengarnya. Cuma kumat kumit mulut tok imam yang sedikit herot akibat angin ahmar jelas kelihatan.

Mataku lebih tertumpu pada wajah seorang pemuda yang telah kaku, perutnya tidak lagi turun naik seperti sedang menyedut oksigen, mata separa terbuka. Buih-buih kecil yang keluar dari mulut telah dibersihkan.
“Salman, selamat berpisah.”

Entah mengapa, itu sahaja ayat yang terdetik di dalam hati ketika aku menatap wajah Salman.

Ketika arwah Pak Leh meninggal, Salman masih di Kaherah, mengaji dalam bidang syariah.

Ya, dia tidak pulang ketika upacara pengebumian ayahnya. Semua orang kampung faham. Mana ada pelajar kampung yang punya banyak wang untuk membeli tiket kapal terbang pulang melihat jenazah ayah buat kali terakhir di tanah air.

Aku yakin, Salman telah berdoa dan melakukan apa yang patut di sana.

“Cuma hairan, kenapa Salman terbaring di ruang solat? Kenapa malam? Kenapa semalam? Bukan lima tahun lepas? Kenapa berbaju hitam?”

Persoalan demi persoalan berbaris di kepalaku, mengetuk pintu akal untuk berfikir.

Sudah lima tahun Salman tidak pulang ke kampung. Hanya sekali selepas dia tamat pengajian. Itu pun sehari dua.

Apa perancangan Salman untuk kerjaya? Dia ingin bekerja di jabatan agama atau berkhidmat sebagai guru.

Selepas hari itu, salman tidak muncul lagi. Cuma sekali aku terdengar berita tentang Salman.

Dia telah menjadi ahli perniagaan.

Aku tidak pasti sama ada ejen perlancongan (umrah) atau buka kedai buku agama.

“Saya ada pelawa Salman jadi guru agama di sekolah agama rakyat, sambil -sambil itu boleh jadi imam muda di kampung. Tetapi Salman tolak.”

Wajah Imam Satu sedikit kecewa ketika bersembang dengan jemaah – jemaah yang lain. Tetapi jemaah lain semuanya diam.

Aku juga diam. Tidak pada Bilal. Dahinya berkerut, mungkin masih mengingat kejadian sebelum subuh tadi.

Bagi jemaah masjid jamek Paya Gadut, Salman merupakan calon yang layak untuk diangkat sebagai imam andai imam satu meninggal tiba-tiba.

Sekarang pun imam satu selalu tak sihat, semput. Kadang-kadang nafasnya mengah ketika membaca surah ketika solat. Ada juga rungutan daripada jemaah lain aku dengar. Aku dengar tiga hari lepas, tetapi aku diamkan saja.

Tangan siak lembut menggosok tubuh Salman, jirusan air pelahan mengalir di celah rambut Salman. Aku hanya melihat beberapa jemaah memusingkan tubuh Salman.

Ya, orang mati pun perlu dilayan dengan baik. Tubuh mereka perlu dipersiapkan sebaik mungkin untuk dihantar pulang kepada Tuhan.

Soal baik atau jahat seseorang, itu kan telah berlalu setelah kematian tiba. Dosa dan pahala urusan Tuhan.

Sebagai manusia, apa yang diamanahkan, perlulah dijalankan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Tidak boleh dibeza-bezakan jenazah. Baik atau jahat. Pejamkan mata, pekakkan telinga dan bisukan mulut. Biar tangan dan kaki jalankan tanggungjawab.

Kubur kampung paya gadut dipenuhi orang ramai. Mereka semua ingin menyaksikan upacara pengebumian Salman. Rata-rata penduduk sudah lama tidak bertemu dengan Salman. Mungkin ini adalah penghormatan

terakhir buat beliau. Penduduk ingin mengiringinya pulang ke negeri abadi.

“Alhamdulillah, si Salman meninggal dunia dalam masjid.”

“Syukur, apa amalan Salman ya, sampai dijemput waktu tengah malam dalam masjid pula itu”.
“Mati dalam keadaan qiam, mungkin telah solat”.

Itu di antara perbualan aku dengar daripada mulut orang kampung yang hadir ketika menunggu jenazah Salman.

Aku dengar sahaja, tidak pula menyampuk. Hanya diam.

Ada juga cakap-cakap yang aku dengar Salman memang sudah pulang ke kampung tiga hari lepas. Tetapi tidak keluar rumah.

Sekali dua sahaja orang kampung ternampak Salman berjalan melintasi pagar masjid. Sekitar waktu Maghrib.

Namun, kelibat Salman tidak kelihatan di dalam saf solat jemaah, kalau betullah dia ada di sekitar masjid waktu senja.

Sebentar tadi di masjid, atau lebih tepat selepas solat jenazah Salman, ketua kampung ada menanyakan jemaah yang hadir solat jenazah bersama, jika si mati ada berhutang pada sesiapa.

Salman pula memang sebatang kara selepas kematian ayahnya, Pak Leh lima tahun lalu. Dan ibunya pula meninggal ketika melahirkan Salman.

“Maaf, Salman ada berhutang dengan saya.”

Ada suara garau memecah suasana hening di dalam ruang solat yang berkapet merah hati dengan corak tenunan dari Turkiye.

Ketua kampung menjengketkan kakinya sedikit. Ada tangan dijulang tinggi di barisan terakhir saf solat jenazah.

Wajah lelaki itu tidak siapa pun kenali, termasuk aku. Ketua kampung, jemaah masjid pun tidak pernah kenal.

Mataku singgah di wajah lelaki itu. Cuba mengecam. Tidak juga aku kenal. Entah. Aku berdiam sahaja. Biar ketua kampung yang berurusan dengan peminta hutang itu. Jemaah lain lebih baik tidak bersuara.

Oh! Tidak. Keadaan tiba-tiba bertukar gawat. Peminta hutang itu melangkah ke hadapan dan pusing ke arah jemaah. Semua bungkam.

“Jenazah ini tidak akan dikebumikan selagi hutangnya tidak dilangsaikan. Saya cuma hendak duit saya yang Salman sudah pakai.”

Terangkat bahu dan leher ketua kampung. Mulutnya ternganga luas.

“Tuan, jangan begini, jenazah perlu dikebumikan segera, tentang hal hutang itu, kita bincang selepas upacara pengebumian.”

Pantas tangan ketua kampung yang tidak punya banyak daging menyentuh lembut di bahu peminta hutang.

Orang kampung terpinga-pinga. Salman berniaga apa sebenarnya.

Bukankah dia pengusaha ejen pelancongan? Takkan tidak berduit. Aku juga musykil. Tapi cuma berdiam diri.

Raut wajah peminta hutang itu sedikit kendur. Matanya berkedip sedikit. Nafas ditarik panjang. Perlahan dihembus.

Bunyi Dengusan agak kedengaran selain bunyi kipan berputar betul di atas keranda yang menyimpan tubuh Salman sebelum ke liang lahad.

“Duit mengerjakan umrah kami hangus.”

Manik-manik kecil mula mengalir dari lelaki berbadan gempal. Betullah Salman ejen pelancongan atau lebih khusus adalah membawa orang menunaikan umrah di Mekah.

“Begini, hal ini kita bincang selepas upacara pengembumian, tidak baik bercerita hal itu ini sedangkan jenazah masih bersama kita.”

Kali ini, Imam Satu melangkah ke hadapan, cuba menenangkan keadaan.

Memang ada dengar-dengar Salman punya masalah kewangan. Itu pun tiga hari lepas. Dia pulang ke kampung untuk mencari geran tanah Pak Leh.

Pak Leh tidaklah kaya. Tanah suku ekar yang menampung sebuah rumah itulah satu-satunya harta peninggalan beliau kepada Salman. Mungkin tanah itu bakal dijual Salman.

Lagi pun Salman betul-betul sengkek. Semua duit simpanannya sudah habis diberikan kepada peminjam wang tidak berlesen.

Rumah, kereta dan perniagaan sudah ditarik oleh bank.

Salman betul-betul terduduk dek kesempitan kewangan.

Matahari berwajah bengis di dada kampung Paya Gadut. Tanah perkuburan terasa bahang, pukul 12.30 tengah hari. Jenazah Salman selamat dikebumikan.

Alhamdulillah semuanya lancar. Orang ramai tidak putus-putus mendoakan roh Salman. Semua bercakap hal-hal baik tentang arwah.

Masih kuat di dalam memori orang kampung, Salman anak kampung pertama mengaji di Kaherah dalam bidang agama. Memang menjadi buah mulut ketika itu.

Hal yang berlaku di masjid, ketua kampung minta jemaah tidak menyampai-nyampai di luar. Biarlah pihak pengurusan kampung dan masjid mencari jalan untuk menyelesaikan hutang salman.

Aku sememangnya tidak akan bercakap-cakap hal itu. Lebih baik diam.

“Imam, saya dan bilal periksa CCTV. Tengok semula apa yang berlaku malam semalam.”

Beria-ia siak bercakap sambil tangannya memegang lengan jubah imam.
“Cuba imam tengok rakaman ini.”

Istighfar panjang Imam Satu selepas menonton rakaman CCTV yang menyiarkan pergerakan seorang lelaki berpakaian serba hitam sedang mengumpil peti besi tabung masjid.

Bersungguh-sungguh dia untuk memecahkan tabung masjid. Tidak sampai tiga minit, tiba-tiba lelaki itu memegang dada dan jatuh ke karpet ruang solat.

“Begini, jangan sampai orang ramai tahu tentang kejadian ini. Yang berlalu, biarlah berlalu. Kita jaga aib orang, Tuhan jaga aib kita.”

Mata Imam Satu hinggap ke wajah bilal dan siak. Mereka angguk tanda paham.

Aku diam, sepi, sunyi. Aku menangis melihat diriku yang terbaring kaku, berbaju hitam di ruang solat.

“Tuhan, hidupkan aku, aku hendak solat taubat.” – UTUSAN





Source link