ULASAN SUKAN | Pemain badminton elit dunia, khususnya dari China, Korea Selatan atau Jepun, mungkin cemburu melihat kelibat garang pemain negara dalam acara beregu kebelakangan ini.
Paling ketara adalah selepas Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei muncul juara baru acara beregu campuran Kejohanan Dunia di Paris pada 31 Ogos lalu.
Benarkah perasaan seperti itu sudah mula menerbitkan rasa takut kepada tiga gergasi dunia itu yang sentiasa mendominasi Jelajah Dunia BWF setiap tahun?
Dipercayai rasa gelisah itu memang wujud. Tetapi ia mungkin tidak kekal lama jika melihat kepada mentaliti pemain elit dunia dari tiga negara terbabit yang boleh bangkit dengan pantas mencari idea menyekat kemaraan kita.
Hakikatnya, pemain kita masih berada satu kelas di bawah China, Jepun dan Korea Selatan. Lawan kita itu sentiasa mantap dari segi kualiti permainan dan amat kurang melakukan kesilapan di atas gelanggang.
Tahap kecergasan juga sentiasa tinggi dan ada antara mereka mampu memenangi tujuh atau lapan gelaran dalam setahun. Hal itu kerana aksi tekal mereka yang tidak mudah pudar semasa beraksi.
Contohnya, pasangan lelaki nombor satu dunia dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Kim Won Ho, yang mendominasi pentas global tahun ini dengan memenangi tujuh gelaran, termasuk juara dunia, dan terkini – juara Masters China.
Pasangan beregu wanita China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, juga satu lagi nama harus diketengahkan. Bagi mereka misi menjuarai kejohanan antarabangsa sudah menjadi satu rutin.
Pasangan nombor satu dunia itu – yang turut menjadi halangan terbesar kepada impian Pearly Tan-Thinaah dalam beberapa final – turut muncul juara dunia di Paris tahun ini.

Kita perlu banyak belajar daripada pasangan seperti itu jika mahu muncul sebagai juara di pentas terbesar dunia.
Apakah ramuan yang dimiliki mereka sehingga menjadi kebal dan sukar ditembusi?
Kita juga tidak harus lupa dengan kemampuan pemain beregu dari Denmark, Indonesia, Taiwan dan India yang kini setanding – kalau pun tidak lebih baik sedikit – daripada kita.
Apa pun, tidak dinafikan, acara beregu tetap menjadi penyelamat maruah negara kerana pemain kita dalam sektor tersebut sudah membuktikan mampu meraih gelaran dalam Jelajah Dunia BWF sejak Jan lalu.
Pasangan paling konsisten
Paling bernilai ialah sejarah yang dilakar Tang Jie-Ee Wei apabila mereka muncul juara baru dalam acara beregu campuran Kejohanan Dunia. Ia pencapaian mengejutkan dan pasangan berkenaan kini mula dipandang lebih serius oleh pihak lawan.
Satu lagi pasangan negara, Pearly Tan-M Thinaah, sedikit saja lagi untuk mencipta kejuaraan berganda di kejohanan sama sempena hari kemerdekaan kita.
Namun, aksi garang diperagakan pasangan beregu wanita nombor dua dunia itu belum cukup untuk merealisasikan impian negara. Mereka terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selaku naib juara.
Tapi, sejarah tetap dilakar mereka sebagai wanita pertama negara mara ke final.
Pearly-Thinaah harus diperakui sebagai pasangan paling konsisten dalam skuad negara untuk musim ini apabila layak lima kali ke perlawanan akhir dalam Siri Super, termasuk Kejohanan Dunia.
Mereka muncul juara Terbuka Thailand, Mei lalu.
Cuma peminat tidak faham apa sudah jadi kepada dua pasangan beregu utama lelaki kita – Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang tiba-tiba menyepi di gelanggang sejak Kejohanan Dunia.

Kemampuan mereka terbatas dan terlepas peluang untuk naik ke podium kali ini.
Tekanan harus dirasai tetapi mereka sepatutnya ada kemampuan untuk mengubah nasib masing-masing dan kembali semula ke landasan kemenangan.
Sesungguhnya, jurang pasangan beregu kita dengan pasangan gergasi dunia lain juga nampak semakin rapat. Ini satu petanda positif yang harus dibanggakan pada saat ini.
Menariknya, pencapaian itu menyusul dengan kemantapan pengurusan pasukan, jurulatih beregu yang bijak melakar strategi serta menyemarakkan semangat anak didik mereka di atas gelanggang.
Pengendali itu juga makin serasi dengan pemain yang turut menunjukkan kualiti dalam permainan dengan tahap komunikasi baik sesama mereka.
Elemen tersebut jelas menjadi penyebab utama membantu kejayaan Tang Jie-Ee Wei menumbangkan pasangan nombor dua dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14 dalam final Kejohanan Dunia di Paris pada bulan lalu.
Pasangan negara juga kekal konsisten apabila berjaya mara ke final sekali lagi di Masters China di Shenzhen. Namun, senarionya berbeza kali ini apabila mereka menggigit jari kerana tewas kepada pasangan nombor empat dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran pada Ahad lalu.
Difahamkan, kegagalan itu juga ada kaitan dengan soal kecederaan ditanggung oleh Ee Wei yang turut kurang sihat sejak hadir di Shenzhen.
Pasangan terbabit dilaporkan sudah menarik diri daripada Terbuka Korea yang bermula minggu ini, begitu juga Pearly-Thinaah yang mahu berehat dan membuat persiapan menyahut cabaran dalam Siri Super di Eropah, bulan depan.
Barisan generasi baru
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga harus diberikan pujian kerana berjaya memilih ketua jurulatih yang berwibawa serta mampu merangka strategi ampuh untuk mengubah wajah anak didik mereka sejak awal tahun ini.
BAM juga berjaya mengawal pemain mereka dan memberi imbuhan setimpal dengan kejayaan masing-masing.
Tidak ada ‘babak kecoh’ dari segi kewangan seperti dihadapi kebanyakan cabang sukan lain di negara ini. Faktor itu banyak membantu memberi selera kepada pemain badminton tersohor negara untuk naik ke podium.
Cuma, apa dibimbangkan adalah hakikat bahawa kebanyakan pemain beregu – baik lelaki, wanita dan campuran – masih terperangkap dalam aspek mengekalkan aksi konsisten. Sekejap ada, sekejap tak ada.
Harap-harap barisan generasi baru kita – mungkin dalam tempoh lima tahun lagi – dapat belajar menjadi seperti Seung Jae-Won Ho atau Sheng Shu-Tan Ning.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.






