Aktivis dan bekas ahli Parlimen, Tian Chua menolak penjelasan Suria KLCC berhubung insiden peserta himpunan pro-Palestin dihalang memasuki pusat beli-belah itu, semalam.
Menurut Chua, kakitangan keselamatan pusat beli-belah itu menghalang sebarang simbol berkaitan Palestin tidak dibenarkan berada dalam premis, bukan kayu pada bendera semata-mata.
Katanya, ketika insiden itu berlaku, himpunan telah tamat dan peserta bersurai tanpa ada niat untuk meneruskan protes dalam pusat beli-belah tersebut.
“Mereka ada tujuan masing-masing – untuk ke tandas, makan atau beli-belah. Malangnya mereka telah dihalang oleh pegawai keselamatan, yang berkata sesiapa yang memakai lencana, keffiyeh atau membawa plakad dan bendera tidak dibenarkan masuk,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.
Chua juga mendakwa seorang pegawai cuba merampas bendera Palestin daripada seorang peserta wanita, yang kemudian dibantahnya sehingga tercetus ketegangan.
“Bagi meredakan keadaan, saya cadangkan agar bendera itu dipisahkan daripada kayunya – kayu diserahkan kepada mereka dan bendera akan saya bawa keluar sendiri. Namun, pegawai keselamatan sekali lagi cuba merampas bendera dengan paksa, malah menolak saya secara fizikal,” dakwanya.
“Pegawai keselamatan di premis persendirian tidak diberi kuasa untuk merampas barangan peribadi kecuali dalam keadaan yang sangat terhad, contohnya kes kecurian. Cubaan merampas barangan peribadi seperti bendera jelas melangkaui bidang kuasa yang sah.
“Apa yang paling serius, cubaan untuk merampas barangan peribadi adalah perampasan harta secara tidak sah. Di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, penahanan atau pengambilan harta seseorang tanpa justifikasi undang-undang adalah satu kecurian,” katanya lagi.

Justeru, Chua menggesa pengurusan Suria KLCC untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan menyuasat pegawai keselamatan yang terlibat dalam insiden semalam.
Semalam, pengurusan Suria KLCC mempertahankan tindakan kakitangan keselamatannya dengan berkata mereka bertindak “selaras dengan prosedur keselamatan” untuk melarang barangan yang boleh menimbulkan risiko keselamatan atau mengganggu keselesaan pengunjung.
“Kami ingin menegaskan bahawa ini adalah langkah keselamatan piawai yang dikenakan kepada semua pengunjung, dan kami ingin meyakinkan orang ramai bahawa tindakan kami tidak didasari oleh sebarang pendirian politik,” katanya.
Hari ini, kumpulan Boycott, Divestment, and Sanctions (BDS) Malaysia mengecam pengurusan Suria KLCC dan berkata kejadian itu mungkin dijangka berlaku di negara pro-Zionis, tetapi “tidak sepatutnya berlaku di Malaysia”.
Ia turut menyatakan rasa kecewa terhadap penjelasan Suria KLCC yang cuba mempertahankan insiden tersebut dengan alasan kebimbangan terhadap “kayu panjang” pada bendera Palestin.
“Alasan ini tidak boleh diterima kerana pelanggan lain yang memakai keffiyeh atau membawa poster pro-Palestin juga dihalang daripada masuk,” katanya.
‘Harap bukan kerana dasar’
Sementara itu, Chua menggesa protokol keselamatan disemak semula dan ditambah baik bagi mencegah amalan diskriminasi seumpama itu daripada berulang.
“Walaupun tumpuan utama saya tetap pada kekejaman berterusan di Gaza, adalah penting agar insiden seperti ini tidak dipandang ringan. Ia menyentuh soal hak asasi – kebebasan bersuara, maruah dan kebebasan bergerak.
“Saya amat berharap insiden ini berpunca daripada tindakan keterlaluan sesetengah pegawai, bukannya dasar yang disengajakan untuk menyekat solidariti terhadap Palestin.
“Bagaimanapun, tanggungjawab sepenuhnya tetap terletak pada pihak pengurusan untuk memperbetulkan keadaan serta memastikan ia tidak berulang,” kata bekas Naib Presiden PKR itu lagi.
Dia juga menggesa pengurusan pusat beli-belah itu agar menyelaraskan pendiriannya dengan dasar rasmi kerajaan yang konsisten menyokong rakyat Palestin.






