Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan rakyat negeri itu supaya menerapkan budaya menyayangi alam sekitar dengan terlibat secara aktif dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi seperti dianjurkan Jabatan Perhutanan.
Baginda bertitah langkah itu dapat menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk generasi masa hadapan.
“Saya menekankan supaya budaya sayangi alam sekitar dapat disebar luas. Sehubungan dengan itu, saya menyeru supaya setiap daripada kita terutama rakyat Perlis untuk terlibat secara aktif dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan seperti yang dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan.
“Saya berkeyakinan tinggi, Jabatan Perhutanan akan terus cemerlang dalam menggalas tanggungjawab mengurus khazanah hutan di Perlis selari dengan visi jabatan iaitu “Menjadi peneraju terunggul dalam pengurusan hutan tropika secara lestari”,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada penutup pertandingan mencerap dan merekod spesies burung, The Northernmost International Bird Race Wang Kelian 2025 di kawasan Arked Niaga Wang Kelian dekat Padang Besat hari ini. Pertandingan itu berlangsung pada 30 Okt lepas hingga hari ini.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah berdasarkan inventori burung dilaksanakan Jabatan Perhutanan Perlis melalui Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) pada 2022, terdapat 197 spesies burung direkodkan di sepanjang Banjaran Nakawan manakala 170 spesies di Wang Kelian.
Sehubungan dengan itu, Raja Perlis bertitah baginda percaya dengan adanya penganjuran pertandingan seumpama itu, rekod burung di Banjaran Nakawan dan Wang Kelian khususnya akan dapat dikemas kini dari semasa ke semasa.
“Dengan pelaksanaan yang betul, program (pertandingan) seperti ini dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran awam tentang peranan kepelbagaian spesies dalam sesuatu ekosistem.
“Besarlah harapan saya agar penganjuran program The Northernmost International Bird Race Wang Kelian dapat diteruskan pada masa akan datang untuk menarik lebih ramai pelancong bertandang ke Perlis khususnya untuk menjalankan aktiviti pemerhatian burung,” titah baginda.
Baginda bertitah pertandingan edisi kedua itu selepas diperkenalkan pada 2023 kini menjadi antara acara tahunan dinantikan peminat unggas setanding Bukit Fraser BirdRace Pahang, Taiping Bird Week Perak, Wings of Kuala Kubu, Pesta Sayap Selangor serta Borneo Bird Fair Sabah.
“Saya percaya melalui aktiviti ini, rakyat khususnya penduduk sekitar Wang Kelian dan Kaki Bukit akan mendapat limpahan ekonomi secara tidak langsung. Justeru, saya menyeru supaya semua pihak mengambil peluang ini dan kembangkan potensi yang sekian lama telah tersimpan,” titah baginda.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis penutup berkenaan, Pengarah Perhutanan Perlis Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata pihaknya menetapkan kawasan Wang Kelian sebagai lokasi khusus dalam konteks pemerhatian spesies burung pada masa ini dan akan datang.
“Istimewanya di Wang Kelian merupakan ekosistem hutan batu kapur. Bila ekosistem hutan batu kapur, secara umumnya tumbuh-tumbuhan atau dirian tumbuhan lain daripada spesies yang lain, dan disebabkan tumbuhan berbeza, sumber makanan pun berbeza.
“Jadi bila sumber makanan berbeza menyebabkan burung-burung ini pun ada sebahagian kecilnya berbeza yang ia mungkin cenderung untuk mendapatkan sumber makanan di kawasan ini… ini membuatkan Perlis unik berbanding tempat lain. Saya tidak nafikan ada juga burung di tempat lain, ada di Perlis, tetapi dengan ciri hutan batu kapur ini, ia akan mencirikan ekosistem berbeza,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi NEST Sulaiman Salikan berkata terdapat antara tiga hingga lima spesies burung dikenal pasti menerusi hasil pertandingan pencerapan burung itu termasuk Black-backed Dwarf Kingfisher dan Rajawali.
– Bernama






