Sudah dikenal pasti – itu mesej yang disampaikan Bersatu berhubung isu akuan berkanun (SD) yang didakwa dibuat dalam usaha sesetengah pihak mendesak presiden mereka, Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan tersebut.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata dokumen seperti SD bukan suatu kaedah yang diterima oleh parti, serta tiada tempat dalam perlembagaan mereka untuk menentukan kedudukan sebarang jawatan.
Katanya jawatan presiden serta yang lain-lain diisi secara sah melalui proses pemilihan dalam persidangan di peringkat bahagian ataupun perhimpunan agung tahunan (PAT).
PAT baru-baru ini, katanya, sudah membuat keputusan sebulat suara memberikan sokongan kepada Muhyiddin untuk kekal sebagai presiden, serta menjadi calon perdana menteri dari parti berkenaan.
PAT, tambah Tun Faisal, adalah platform tertinggi parti yang mengatasi semua platform dan dokumen yang lain, melainkan Perlembagaan Bersatu.
“Pihak yang mengatur beberapa orang pemimpin Bersatu untuk menandatangani SD ini hanya dua atau tiga orang yang telah dikenal pasti dan ada saksi-saksinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin berdepan dengan rasa tidak senang segelintir pemimpin Bersatu dan ia antara lain terzahir semasa bekas perdana menteri itu menyampaikan ucapan dasar semasa hari pertama PAT di Shah Alam kelmarin.
Beberapa perwakilan menjeritkan kata-kata “Turun Tan Sri” ketika Muhyiddin menyentuh mengenai usaha menggerakkan kempen mengumpul tandatangan bagi mendesak dia berundur.
“Katanya ada orang kutip tandatangan untuk jatuhkan presiden.
“Ini tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan parti,” katanya.
Jeritan itu disambut oleh penyokong Muhyiddin yang membalas dengan jeritan “Hidup Tan Sri!”
Media hari ini melaporkan ada kira-kira 120 ketua bahagian Bersatu sudah menurunkan tandatangan pada SD berkenaan sebagai langkah mendesak Muhyiddin memberi laluan kepada timbalannya, Hamzah Zainudin, mengetuai parti.
Tun Faisal berkata membuat SD dengan “butiran palsu” adalah bertentangan dengan keputusan PAT tahun lalu, selain gagal menepati takrifan dokumen itu dari segi undang-undang.
“Cubaan menipu pemimpin-pemimpin bahagian menggunakan butiran palsu dalam SD juga menunjukkan kumpulan ini hanyalah minoriti yang tahu bukan sahaja mereka tidak mampu mengatasi suara majoriti dalam PAT 2025, malah belum tentu akan mendapat sokongan pemimpin-pemimpin akar umbi di bahagian mereka sendiri sekiranya perkara ini dibawa ke dalam persidangan bahagian masing-masing,” katanya.
Memetik kenyataan semasa menggulung perbahasan Bersatu semalam, Tun Faisal berkata, SD itu melibatkan Hamzah tetapi ahli politik terbabit sudah memberikan ikrar untuk terus memberikan dukungan kepada Muhyiddin.
“Justeru SD yang diatur oleh penyokong-penyokong Hamzah sudah tidak lagi relevan,” katanya.