Ketika ahli politik melakar garis pemisah, ahli akademik Tajuddin Rasdi mengenang empat tahun yang dihabiskannya di sebuah sekolah Cina yang membentuk pandangan dunianya sebagai seorang rakyat Malaysia, serta menanam dalam dirinya keupayaan melihat keindahan dalam kepelbagaian.
Profesor seni bina ini tidak pernah gentar menegur pihak yang mengeksploitasi perpecahan kaum demi keuntungan politik – keterbukaan yang bukan sahaja mengundang kemarahan sesetengah pihak, malah tuduhan pahit bahawa dia mengkhianati bangsa dan agamanya sendiri.
Baru-baru ini, selepas menghadiri majlis makan malam alumni bersama rakan sekelasnya dari Sekolah Menengah Hua Lian di Taiping, Perak, Tajuddin terkenang zaman mudanya, bagaimana guru dan rakan-rakan menyambutnya sebagai sebahagian daripada mereka, tanpa pernah membuat dia berasa berbeza.
“Saya satu-satunya alumni Melayu di antara 870 pelajar lelaki dan perempuan Hua Lian – tetapi di lautan wajah itu, saya tidak pernah terasing. Saya salah seorang daripada mereka. Saya orang Malaysia,” katanya kepada Malaysiakini.
Sumber kekuatan
Tajuddin, 63, berkata dia belajar di sekolah menengah itu dari Tingkatan Dua hingga Tingkatan Enam Rendah, sebelum berpindah untuk melanjutkan pelajaran di tempat lain.
“Di sekolah, saya kaum minoriti. Tetapi saya tidak pernah dibuli, dipinggirkan atau diejek. Saya diterima.
“Kami merapatkan jurang perbezaan, menemui kebaikan bersama dalam diri masing-masing dan menjadi sahabat yang melihat melampaui hal remeh-temeh seperti warna kulit,” tambahnya.
Kata Tajuddin, kenangan itu menjadi sumber kekuatan ketika bulan Merdeka, sebuah peringatan tentang potensi Malaysia, meski ada pihak berusaha merobek rohnya – buta kepada hakikat bahawa luka perpecahan akan ditanggung semua, bukan satu kaum sahaja.

Anak kepada seorang konstabel polis itu turut menyanjung guru-gurunya, baik di sekolah rendah mahupun menengah.
Dia masih mengingati bagaimana guru seninya, “Mr Chung”, membuatnya kagum setelah menunjukkan cara membina rumah kecil menggunakan batang mancis, yang kemudian berkembang menjadi sebuah kampung rumah mancis.
“Saya rasa minat saya terhadap seni bina bermula seawal Darjah Lima di St Marks, Butterworth,” katanya.
Bersyukur
Tajuddin juga merakamkan penghargaan kepada para pemimpin Perikatan era 1960-an – daripada Umno, MCA, dan MIC – yang menurutnya meletakkan asas peluang untuk rakyat.
“Itu hasil visi dan tekad mereka yang membolehkan anak miskin seorang konstabel polis menaiki pesawat buat kali pertama, ke Amerika Syarikat dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Sesetengah ahli politik hari ini mungkin langsung tidak berguna, tetapi tentu sekali bukan mereka dari era Tunku Abdul Rahman dan Abdul Razak,” ujarnya.
Secara ironinya, dalam perjalanan ke tanah asing itulah Tajuddin menemui wanita yang kemudian menjadi teman hidupnya.

“Dia salah seorang daripada 11 pelajar Melayu dalam kumpulan kami di pesawat pertama ke AS. Isteri saya berdiri teguh di sisi saya dalam setiap musim – kerjaya saya, perjuangan saya dengan kesihatan mental, malah ketika bertarung dengan penyakit fizikal, dia tetap berjaga di sisi katil hospital, tidur di kerusi keras atau katil sementara.
“Bersama-sama, kami membesarkan lima anak, menanggung banyak pinjaman – dan kami bertahan,” tambahnya.
Dilabel anti-Melayu
Kini berkhidmat di Universiti UCSI Kuala Lumpur, Tajuddin menzahirkan rasa syukur kepada pengerusi universiti itu kerana memberinya peluang selepas persaraan awal dari universiti awam.
“Dia percaya bukan sahaja pada pengalaman saya sebagai arkitek, tetapi juga pada kemampuan saya untuk berbakti kepada Malaysia,” katanya.
Tajuddin mengingat kembali bagaimana permohonan jawatannya sebagai profesor di tiga universiti awam ditolak kerana tulisan-tulisannya dilabel “anti-Melayu” dan “menyimpang daripada Islam”.

Namun, dia menegaskan kompas hidupnya Nabi Muhammad SAW dan Rukun Negara – yang memandunya baik sebagai seorang Muslim mahupun rakyat Malaysia.
“Pada Merdeka kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda semua, warna sebenar hidup saya – rona yang tiada bendera atau lambang kebangsaan mampu menutupi – rasa bangga dan syukur saya untuk setiap rakyat Malaysia yang pernah hadir dalam perjalanan hidup saya.
“Seperti kata pepatah Melayu, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ – nasib kita terpikul bersama, ketika kita mengharungi badai zaman,” katanya.