Malaysia Oversight

Saya reda kalau nyawa ditarik waktu itu – Razak Ahmad

By Utusan in November 9, 2025 – Reading time 4 minute
Saya reda kalau nyawa ditarik waktu itu – Razak Ahmad


PENGALAMAN hampir mati lemas ketika menjayakan babak aksi dalam drama Johny Bikin Susah sekitar era 90-an menjadi antara kenangan yang perinciannya masih segar dalam ingatan pelakon, Datuk Razak Ahmad.

Berkongsi cerita kepada penulis menerusi sesi temu bual yang diadakan baru-baru ini, Razak mengakui sampai ke hari ini masih dapat membayangkan dengan jelas saat-saat menghampiri kematian kerana lemas.

“Kejadian berlaku ketika penggambaran dibuat di sebuah kawasan air terjun di Cameron Highland. Dalam drama itu saya membawakan watak inspektor polis dan menawarkan untuk melakonkan babak terjatuh dari atas air terjun berketinggian kira-kira tujuh meter selepas ditembak penjenayah.

“Saya sebenarnya teruja kembali ke Cameron Highland waktu itu kerana ketika kanak-kanak, saya pernah tinggal dan membesar di situ. Jadi dengan bangganya waktu itu saya memaklumkan sudah biasa mandi di kawasan air terjun itu, kononnya tak masalah untuk melakonkan sendiri babak tersebut.

“Namun saya tak menyangka yang sebaik sahaja terjun ke dalam air, saya ditarik pusaran deras, menyebabkan saya bergelut untuk naik ke permukaan. Ibarat nyawa saya ketika itu benar-benar di hujung tanduk. Saya reda kalau nyawa ditarik waktu itu.

“Namun saya cukup bernasib baik kerana dalam semua kru penggambaran dan pengarah tidak berbuat apa-apa kerana menyangkakan saya sedang berlakon, muncul seorang hamba Allah, yang juga peserta kadet polis nampak yang saya sedang bertarung nyawa lalu mencampakkan kayu untuk menarik saya ke permukaan. Hanya Tuhan sahaja tahu keadaan saya pada waktu itu,” ceritanya.

Kata Razak, pengalaman ngeri itu bagaimanapun tidak meninggalkan trauma atau mengikis minat dan kemahuannya terhadap aksi lasak dan mencabar dalam lakonan.

“Rasanya, dengan pengalaman itu, saya boleh ceritakan apa yang dirasai oleh mangsa yang mati lemas.

“Bukan mereka tidak berjuang untuk selamatkan diri, tetapi tiada daya lagi tersisa untuk mereka. Ibaratnya mati dalam keadaan reda sahajalah.

“Namun pengalaman yang saya lalui itu tidak sedikit meninggalkan trauma atau membuatkan saya takut dengan kolam renang, sungai atau pun laut.

“Cuma yang saya pelajari adalah jangan sesekali bersikap angkuh atau bercakap besar kerana sikap itu memakan diri sendiri,” jelasnya.

WARISI KEMAHIRAN MEMBACA AL-QURAN DARIPADA IBU

Razak membesar dalam keluarga sederhana di mana ibu bapanya amat menitik beratkan tentang pendidikan agama.

Malah, kemahiran membaca al-Quran yang dimiliki Razak sebenarnya diwarisi daripada ibunya yang merupakan salah seorang qariah negeri Pahang satu masa dahulu.

ALBUM yang diterbitkan di Indonesia

“Jadi, dorongan mendalami ilmu al-Quran ini diberikan oleh orang tua yang sentiasa mendaftarkan saya untuk mengikuti pertandingan tilawah sejak usia saya kecil lagi.

“Asbab pendedahan dalam tilawah al-Quran membuatkan saya selalu bertanding dan pernah bergelar johan kanak-kanak di peringkat sekolah dan kebangsaan,” kongsinya.

Razak bagaimanapun memilih dunia seni sebagai kerjaya dengan menjadi penyanyi. Pada awal, minat beliau itu tidak dipersetujui ayahnya yang lebih menginginkan beliau masuk ke bidang agama.

“Ayah saya curiga terhadap keputusan saya kerana beliau beranggapan ahli muzik ini selalunya bekerja di kelab malam dan terdedah dengan perkara yang tidak elok.

“Ayah saya berharap saya tidak menjadi penyanyi kerana beliau mahu saya berkhidmat sebagai qadi.

“Sebab itulah sejak kanak-kanak lagi saya dimasukkan ke sekolah agama. Tapi minat kepada dunia nyanyian cukup menebal.

“Malah pembabitan dalam dunia tilawah sebenarnya menyedarkan saya yang saya juga boleh menjadi penyanyi,” kongsinya.

ANTARA album yang pernah dirakamkan Razak Ahmad pada tahun 1989

Pada 1984, Razak atau Abdul Razak Amad berhijrah ke untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni lukis dan seni reka di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Selepas itu, beliau mencuba nasib dengan menyertai pertandingan Bakat TV bersama sahabatnya, Asmad.

“Kawan-kawan memberi galakkan agar saya sertai pertandingan Bakat TV terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Dan saya bernasib baik kerana saya dan rakan sepasukan, Asmad berjaya diterima masuk menyertai pertandingan berkenaan meskipun kriteria kelayakannya cukup ketat.

“Kami pada masa itu bersaing dengan kumpulan Pak Man Telo yang diangkat juara pertandingan itu manakala kumpulan kami sekadar naib juara,” ujarnya.

TOLAK WATAK ANTAGONIS

Berkongsi mengenai perkembangan karier lakonan, anak jati Pahang ini meluahkan rasa syukur kerana masih diberi kepercayaan untuk memeriahkan industri drama dan perfileman meskipun usianya kini hampir mencecah 60 tahun.

“Alhamdulillah, tahun ini, saya tidak putus menerima tawaran berlakon. Malah antara Januari hingga April lepas jadual kerja saya padat sehingga tak ada masa untuk berehat.

“Tapi biasalah, rata-rata watak yang ditawarkan kepada saya kebanyakannya karakter agamawan seperti ustaz, bilal dan imam. Tapi saya bersyukur kerana sehingga sekarang rezeki saya dalam dunia lakonan tidak putus,” katanya.

Kata Razak, beliau juga selesa melakonkan watak guru al-Quran yang baginya bersesuaian dengan jiwa dan minatnya.

“Saya gemar dengan watak-watak seperti ini. Ia lebih mudah dilakonkan dengan adanya sedikit pengetahuan tentang al-Quran.

“Hakikatnya, watak imam, guru agama dan sewaktu dengannya ini tidaklah dipandang masyarakat. Tetapi saya sentiasa teruja membawakannya dan tidak pernah menolak apabila ditawarkan,” katanya.

Razak pada masa sama memaklumkan akan menolak secara baik sekiranya ditawarkan watak antagonis.

“Sebolehnya saya elakkan watak seperti itu kerana ia berat untuk saya lakonkan. Watak imam, ustaz atau bilal rasanya lebih sesuai dengan saya.

“Kalau watak antagonis ini, saya kena tukar penampilan. Contoh ketua kongsi gelap, mungkin saya kena memakai rantai atau melukis tatu pada badan untuk menjadi samseng. Perkara itu membuat saya rasa serba salah. Saya ada menerima beberapa tawaran melakonkan watak antagonis, tapi saya tolak secara baik. Kalau boleh, berilah saya watak lain selain antagonis,” kongsinya.





Source link