ISU pelakon menjadi mangsa pengarah toksik sudah lama berlaku. Cuma bukan semua pelakon yang memperkatakan tentangnya. Watak pengarah Ahmad Nifsu yang kita saksikan dalam filem Seniman Bujang Lapok itu wujud.
Memang ada pengarah garang yang suka memaki hamun di set penggambaran. Kewujudan mereka ini diakui pelakon dan pengarah, Zul Huzaimy kerana dia sendiri pernah berdepan individu seperti ini.
Disebabkan itu, Zul yang hampir tiga dekad bergelar anak wayang, tidak pernah menyenangi pengarah yang bersikap ‘kepala angin’ ini. Bahkan, dia tidak pernah bersetuju pelakon yang bagus lahir hasil hencapan, maki hamun dan herdikan tuan direktor.
Ada yang berpandangan, kalau hendak ‘ jadi pelakon, kena tahan maki’. Benarkah begitu?
Kita semua ada perasaan. Pelakon tidak jadi bagus dengan cara hentaman, makian dan direndah-rendahkan.
Contoh, kita dapat penampar mak ayah kalau kita minta mereka duit dengan cara kasar.
Begitu juga antara pelakon dan pengarah. Pelakon pasti bagi terbaik kalau diminta dengan cara yang betul.
Saya setuju dengan pandangan, pelakon yang bagus lahir dalam persekitaran kerja yang positif.
Zul pernah bekerja dengan pengarah ‘kepala angin’?
Tentu sekali. Dulu saya pernah menengking seorang pengarah kerana biadab. Bayangkan satu baris dialog dia minta saya shoot 19 kali. Sampai saya bertanya kepadanya, sebenarnya dia mahu apa?
Saya ini pelakon, buat cara lakonan saya. Dia minta saya ikut cara dia, saya kata kepada pengarah itu, lebih baik dia yang berlakon.
Jadi, pengarah tidak’ perlu garang dan marah-marah?
Untuk apa? Mahu tunjuk kuasa? Dalam bekerja tidak perlulah marah. Tengoklah, mereka yang pemarah ini selalu keluar masuk hospital.
Pernah duduk di kerusi pengarah, Zul tak pernah ‘menyirap’ di set penggambaran?
Saya tidak pernah marah pelakon. Tapi saya pernah tegur seorang pelakon kerana sikap buruknya.
Bila dia ada waktu lapang di set penggambaran, dia berkurung dengan teman lelakinya dalam kereta. Pelakon lain ajak dia berlatih, dia menolak. Bila tiba giliran berlakon, dia asyik lupa dialog.
Macam mana Zul selesaikan keadaan itu?
Saya cakap kepada dia, dalam dunia ini paling mulia pada saya adalah mak saya. Kemudian saya angkat skrip, saya cakap kepada dia, skrip ini lebih mulia daripada mak saya.
Dia soal kenapa saya berkata begitu? Jawab saya, kalau saya tidak muliakan skrip itu, saya dianggap tidak bekerja dengan baik, kemudian saya bagi wang daripada hasil yang tidak berkat kepada mak saya.
Saya kata kepada dia, buatlah ikut suka hatinya. Dia tersentak dan terus ajak teman lelakinya pulang ke Kuala Lumpur. Esoknya, dia datang semula dan minta maaf.
Saya jelaskan kepada dia, apa yang saya buat itu bukanlah untuk menjahanamkan kariernya, tetapi saya mahu dia jadi pelakon yang bagus.
Cara apa yang melahirkan pelakon yang bagus?
Pelakon yang bagus tidak lahir dalam satu malam. Lakonan saya diawal dulu pun teruk juga.
Tapi disebabkan masa dan pengalaman, kita jadi bagus. Datuk Rosyam Nor pernah berkata, saya ini pelakon yang bagus tetapi tidak sebagus beliau kerana beliau ada usia dan pengalaman.
Saya setuju dengan pandangan itu. Pelakon meningkat naik hari ini, nescaya akan jadi bagus atau lebih bagus daripada pelakon-pelakon yang menang anugerah sekarang ini.
Esok lusa mereka juga akan melalui pertambahan usia dan pengalaman.
Usia dan pengalaman memadaikah?
Jangan lupa, pelakon juga kena bijak. Segala perkara akan jadi mudah dengan kebijaksanaan Berbakat sahaja tidak cukup.
Ada pelakon, berbakat. Tetapi kebolehan mereka tidak berkembang. Mereka tidak mampu pergi jauh. Ini kerana intelektual mereka tidak diasah.
Apa pun, semua ini atas usaha masing-masing. Kalau ada jalan kerja, hasil pasti menyusul.