KUALA LUMPUR: Penyanyi dan guru vokal tanah air, Sarah Ismail, menjelaskan pandangannya berhubung persembahan penyanyi, Aisha Retno yang didakwa netizen sebagai percubaan ‘merosakkan’ lagu Cindai, nyanyian asal Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Menurut Sarah, dia terpanggil untuk mengulas perkara itu selepas ditanya mengenai cubaan membawa lagu klasik berkenaan ke dalam arus permodenan.
“Saya terpanggil dengan satu kenyataan ini. Aisha menyanyikan lagu Cindai tetapi dalam arus permodenan. Ya betul, tidak semua karya muzik ini sesuai diberi sentuhan seperti improvisasi, khususnya lagu-lagu klasik Melayu.
“Lagu Cindai memang mempunyai struktur pantun. Secara teknikal, lagu ini menggunakan model tonaliti dan kontur melodi yang sudah cukup memadai untuk menyalurkan ekspresi emosi. Sudah cukup berkesan,” katanya dalam satu hantaran video di Tiktok hari ini.
Sarah berpendapat, lagu klasik berbeza dengan karya kontemporari yang lebih fleksibel untuk dicorakkan dengan gaya baharu.
“Ia berbeza dengan karya kontemporari yang lebih sesuai dengan pelbagai gaya jika mahu membuat improvisasi, sama ada menggunakan melisma ataupun rentak sinkopasi.
“Namun, perubahan berlebihan dalam lagu klasik boleh menjejaskan nilai estetiknya. Tetapi saya harap orang ramai bertenang kerana Aisha bukannya menyanyi dalam pertandingan semata-mata untuk merosakkan lagu itu.
“Sebagai contoh, saya sendiri jika menyanyi dengan cara saya, itu hanya latihan dan tidak bermakna saya berniat mahu ‘membunuh’ lagu itu,” katanya.
Selain itu, Sarah menegaskan, dia percaya niat Aisha hanya untuk berkongsi idea dan bukan menidakkan keindahan asal lagu berkenaan.
“Saya percaya Aisha hanya mahu mempamerkan sesuatu yang boleh memberi idea kepada orang lain juga.
Tetapi pembawaannya bukanlah untuk memadamkan nilai estetik lagu tersebut, sebaliknya sekadar eksperimen sahaja,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sarah menambah bahawa dia akan menegur sekiranya eksperimen sebegitu dipersembahkan dalam acara besar.
“Saya akan bersuara sekiranya ia dipersembahkan di majlis besar ataupun anugerah di televisyen. Dari situ barulah boleh dikatakan tiada rasa hormat.
“Jadi, apa kata selepas ini kalau seorang penyanyi mahu bereksperimen, cukuplah ambil apa yang terbaik dalam kemahiran vokalnya sahaja.
“Bukan sampai mahu menidakkan lagu itu. Tetapi kalau dianggap serius seolah-olah benar-benar berniat membunuh nilai estetik lagu Cindai, tentu akan menimbulkan rasa sakit hati,” katanya.
Tambahnya lagi, penerimaan khalayak berbeza-beza dan wajar dilihat dalam konteks yang lebih terbuka.
“Tengoklah pada penerimaan masing-masing, ada yang mungkin melihatnya sebagai satu kelebihan, ada pula yang tidak.
“Tetapi saya percaya ia hanyalah eksperimen dan bukannya untuk diketengahkan dalam pertandingan ataupun dipersembahkan dalam majlis besar. Begitulah sepatutnya,” ujarnya.