Malaysia Oversight

‘Saya lega bila Along meninggal dalam penjara’

By MkiniBM in November 9, 2025 – Reading time 4 minute
‘Saya lega bila Along meninggal dalam penjara’


“Apabila Along meninggal dalam penjara, saya rasa lega. It’s a closed case. It’s easy for him and the family,” itu pengakuan Zainah (bukan nama sebenar), wanita berusia lewat 70-an yang berkongsi kisah hidupnya.

Dia membuat pengisahan itu dalam sesi meja bulat Pengalaman Sebenar Mereka Yang Terjejas dan Terpengaruh Oleh Dadah sempena hari kedua persidangan Sidang Kemuncak Polisi Dadah 2025 di Kuala Lumpur kelmarin.

Zainah bukanlah asing dengan kehidupan bersama penagih. Dia merupakan pesara aktivis pemulihan dadah dan puluhan tahun sebelum itu membesar dalam keluarga yang berdepan keretakan kerana abang sulung sendiri seorang penagih dadah.

Along – begitu dia dan keluarga memanggil abangnya itu – pernah menjadi anggota polis sebelum dibuang kerja selepas meninggalkan senjata semasa latihan hutan. Insiden itu dipercayai berlaku akibat isu ketagihan dadah.

“Zaman 1970-an orang tak tahu pasal dadah. Masa Along nak naik kereta api ke Pulapol (Pusat Latihan Polis), dia dah tunjuk tanda-tanda ketagihan. Tapi mak kami sangka dia sakit biasa,” katanya.

Cerita Zainah lagi, Along berusaha selama lebih 30 tahun untuk bebas daripada dadah namun tetap gagal walaupun keluarga memberikan sepenuh kasih sayang dan sokongan.

“Pernah semasa kami berbual, Along cakap dia dah tua dan lemah nak buat jenayah lagi. Saya tahu dia dah terlalu letih melawan ketagihan,” katanya.

Menghidap HIV dan masih bergantung kepada dadah, Along akhirnya memilih penjara kerana tak mahu terus menyusahkan keluarga. Lelaki terbabit kemudian meninggal dunia di situ.

Sambut raya di penjara

Menurut Zainah, walaupun berita itu menyedihkan mereka sekeluarga, dia pada masa sama turut berasa ‘lega’ kerana rasa berdosa, bersalah dan aib yang ditanggung begitu lama oleh Along adalah suatu penyeksaan yang panjang.

Menceritakan pengalaman silam itu, dia juga memberitahu bagaimana keranda yang memuatkan mayat Along berbau harum ketika dibuka.

Bercerita mengenai keretakan dalam keluarga mereka, Zainah berkata, ia bermula apabila Along dimasukkan ke penjara. Dan ia bukan sekali dua.

Kata Zainah sejak zaman kanak-kanak hingga dewasa, dia melihat Along keluar masuk penjara kerana kesalahan berkaitan dadah.

Dia mengakui hal itu menjejaskan imej keluarga mereka. Apatah lagi si ayah juga merupakan anggota polis.

“Arwah abah seorang anggota polis zaman British, jadi pada zaman itu jika bapa seorang polis jadi anak juga perlu jadi polis. Selepas tamat SPM, Along terus jadi polis,” katanya.

Tambah Zainah, kerana dadah juga dia dan adik beradiknya terpaksa meraikan hari raya di kawasan penjara atau pusat pemulihan dadah – bergantung kepada di mana Along berada semasa itu.

8e62fb1af3cce27b3290b98e4b4432e5

Katanya, ibu mereka bertegas mahu meraikan hari lebaran bersama Along.

Justeru, katanya, setiap kali hari raya menjelma, si ibu akan memasak juadah istimewa dan biskut untuk dinikmati Along, namun ia bukan sesuatu yang mudah.

“Kami terpaksa simpan duit untuk sewa kereta dan melawat dia di penjara,” katanya.

Dadah juga pernah menimbulkan rasa marah buat Zainah apabila ibu mereka berulang kali bertanya tentang keberadaan si Along ketika wanita berkenaan begitu uzur akibat serangan angin ahmar.

Malah, ketika ibu mereka menghembus nafas terakhir Along tidak pun pulang.

Ketika itu, kata Zainah, dia percaya abangnya itu berada di sekitar Chow Kit.

Jadi sukarelawan penagih dadah

Selain itu, dia juga menceritakan bagaimana ada ketikanya timbul kerumitan antara dia dan anak-anaknya apabila mereka terpaksa berkongsi bilik dengan Along yang dalam keadaan berkudis teruk.

Situasi itu, tambah Zainah, membuatkan anak-anaknya mula berasa amat tidak selesa.

“Ini memberi kesan keretakan yang amat mendalam kepada saya,” katanya.

Namun pun begitu dia mengakui tetap menyayangi Along dan menyifatkan lelaki terbabit sebagai abang yang penyayang dan baik hati.

Katanya, jika sudah lama tidak berjumpa Along, dia akan ke jalan Chow Kit atau Jalan Masjid India untuk mencari si abang. Mujur tugas itu tidak terlalu sukar buatnya.

“Para penagih di sana biasanya akan tolong carikan Along dari bawah kotak-kota yang berselerak di bawah tangga kawasan berkenaan.

“Apabila berjumpa, Along akan menolak untuk bersalam dan dipeluk, tapi saya tetap akan peluk dia sebab takut selepas itu dah tak dapat jumpa dia,” katanya.

Selepas berkahwin dan mempunyai dua orang anak, Zainah mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi sukarelawan di sebuah pusat jagaan penagih dadah.

Di situ dia membuka pintu kepada bekas penagih yang mahu berubah. Mereka dijadikan ahli keluarga angkat.

06c3abe96c976ae3ff7bf610d8571269

Dari situlah Zainah mula memahami mengapa ramai bekas penagih sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan dunia semasa, dan percaya pemulihan sebenar tidak datang daripada institusi, tetapi daripada komuniti.

“Mereka lebih selesa bersama orang-orang yang senasib dengan mereka.

“Tiada satu institusi yang boleh memulihkan penagih dadah selain dari komuniti itu sendiri. Ubat-ubatan yang diberi hanyalah penyelesaian sementara,” katanya.

Dia menegaskan penagih dadah kerap berdepan masalah dari segi kewangan, mental dan spiritual. Katanya, mereka boleh diibaratkan sebagai kanak-kanak yang terperangkap dalam tubuh orang dewasa.

Oleh itu, katanya, jika penagih atau bekas penagih terbabit tiada keluarga, maka NGO itulah yang akan jadi pengganti.

Perlu semangat berjuang

Namun menurut Zainah, NGO seperti Pengasih Malaysia dan Sahabat – yang memainkan peranan besar dalam pemulihan penagih dadah – masih kurang mendapat pengiktirafan dan dana daripada .

“Dulu apa-apa projek pemulihan yang saya buat semuanya guna duit sendiri. Sesuai dengan peredaran zaman, program yang teratur perlukan dana yang teratur juga,” katanya.

Zainah turut mencadangkan agar menubuhkan komuniti khas untuk ahli keluarga yang terjejas akibat dadah.

Hal itu kerana, katanya, ia penting supaya mereka dapat berkongsi pengalaman, memahami kesulitan masing-masing, dan saling memberi semangat agar tidak berasa keseorangan.

Keperluan itu, katanya, lebih dirasakan untuk kalangan wanita.

“Ada anak-anak yang tidak membesar dengan baik sebab ibu atau bapanya penagih. Mereka tiada tempat untuk meluahkan, tiada siapa boleh membimbing mereka.

“Keretakan ini perlu dirawat dengan semangat dan kasih sayang agar mereka yang sama-sama menghadapi masalah ini terus kuat.

“Saya percaya ramai di luar sana mengalami keretakan yang sama, sama ada sebagai ibu, isteri atau anak.

“Mereka perlukan tempat untuk saling memberi dan menerima semangat dalam berjuang,” katanya.



Source link