Polis memberikan amaran tegas terhadap pihak yang mencetuskan provokasi berhubung proses pengosongan kediaman di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata, pihaknya mahu memastikan operasi itu berjaya diselesaikan hari ini.
“Pengosongan ini perlu dibuat hari ini apa cara sekalipun. Kalau ada pihak yang sengaja mencetuskan kekacauan, saya akan lawan habis-habisan.
“Saya tidak akan benarkan perkara seperti ini berlaku,” katanya kepada media.
Operasi itu membabitkan penguatkuasaan perintah milikan kosong terhadap 26 pemilik individu dengan 37 unit rumah teres .
Terdahulu, ketika operasi dijalankan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Suzilme Affendy Sulaiman cedera dalam pertembungan dengan sekumpulan penduduk kampung di situ.
Mengulas hal itu, Fadil berkata dia kecewa dan marah dengan tindakan membaling objek terhadap pegawainya yang sedang bertugas kerana jelas bertentangan dengan undang-undang.
Katanya, polis hanya menjalankan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang.
“Tindakan mencederakan pegawai saya dengan membaling objek adalah perkara yang saya cukup marah, keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita hanya melaksanakan undang-undang,” katanya lagi.
Suzilme mengalami kecederaan ketika kekecohan tercetus apabila beberapa penduduk cuba merempuh masuk ke kawasan operasi.
Tindakan sekumpulan penduduk dan orang ramai itu disekat oleh pihak polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang bertegas.
Pertembungan itu mengakibatkan ada pihak tertentu yang membaling objek keras ke arah polis dan dipercayai terkena kepala Suzilme.
Sementara itu, Fadil memaklumkan Suzilme sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Katanya dalam kejadian itu, seorang penduduk yang terbabit dengan kekecohan turut mengalami kecederaan ringan.
Dalam pada itu, dia tidak menolak wujud penglibatan pihak luar yang hadir ke kawasan operasi dan cuba menimbulkan huru-hara.
Operasi pengusiran hari ini adalah percubaan kedua sejak Julai oleh pihak berkuasa untuk mengusir 14 penduduk di kawasan itu, yang bersebelahan dengan Kampung Baru.
Pengusiran itu – yang dijalankan melalui perintah mahkamah – adalah untuk memberi laluan pembangunan semula kawasan itu oleh KL City Gateway Sdn Bhd.
Majoriti penduduk telah berpindah selepas menerima tawaran pembelian daripada syarikat itu.