Malaysia Oversight

Saya kehilangan isteri dan separuh diri saya – Amirul

By Utusan in August 26, 2025 – Reading time 3 minute
Saya kehilangan isteri dan separuh diri saya - Amirul


RAWANG:  Kehilangan isteri secara mengejut menjadi tamparan hebat buat seorang suami, Amirul Nafis Amiruddin, 27, yang kini membesarkan anak tunggalnya, Muhammad Faleeq Haq, berusia tujuh bulan seorang diri.

Amirul Nafis berkata, isterinya, Allahyarham Nur Izzaty Hafizah Abuhurairah, 19, menghembuskan nafas terakhir secara mengejut pada 6 Januari lalu. 

“Waktu Subuh, arwah beritahu mahu menyusukan anak sementara saya menunaikan solat. Kemudian, sebelum keluar bekerja, saya terdengar dia terhantuk di dinding dan ketika itulah ajalnya datang,” katanya.

Menurutnya, sebulan pertama selepas tragedi itu adalah tempoh paling sukar kerana dia tidak mampu untuk bekerja dan perlu menjaga anak yang masih berusia dua bulan seorang diri. 

“Waktu itu, saya hilang arah dan tidak boleh nak lakukan kerja. Nak pulihkan semula agak lambat sehingga ambil masa lebih kurang sebulan untuk saya mula bekerja semula.

“Anak saya pula selalu menangis dan setiap hari saya perlu bawa dia keluar untuk tidurkan dia. Dia seakan tahu mak dia sudah tiada,” katanya.

Amirul Nafis berkata, selepas pemergian arwah, dia memilih untuk bekerja setiap hari termasuk hujung minggu kerana tidak sanggup bersendirian dan masih trauma dengan kejadian itu.

“Sekarang saya memang kerja keras. Saya nak sibukkan diri, dalam masa sama saya nak sediakan semua untuk anak. Katakan umur saya sendiri tak panjang, sekurang-kurangnya ada peninggalan buat keluarga,” katanya.

Mengimbau detik sebelum arwah pergi, Amirul Nafis berkata isterinya seolah-olah memberi ‘petanda’ apabila sempat bertanya tentang masa depannya jika ditakdirkan meninggal dunia.

“Dua hari sebelum dia meninggal, arwah ada cakap nak beli kereta dan letak atas nama dia. Lepas itu dia tanya saya, kalau dia mati macam mana?

“Dia juga ada mengucapkan terima kasih pada saya atas segala yang saya dah berikan pada dia sepanjang berumah tangga,” katanya. 

Katanya, pemergian arwah membuatkan dirinya hilang sumber kekuatan hidup. 

“Isteri ni walaupun dia baru muncul dalam hidup kita, tapi suka duka selalunya saya ceritakan lebih kepada isteri walaupun mak ayah saya masih hidup. Jadi bila dia sudah tiada, saya hilang separuh diri saya.

“Kalau dia masih ada, saya rasa dia mesti seronok sekarang sebab segala apa yang saya mahukan saya sudah dapat. Tapi, sekarang saya dengan anak sahaja yang sempat merasa,” katanya. 

Menurutnya, pelbagai perancangan yang dirangka bersama isteri tidak sempat direalisasikan, termasuk membeli rumah serta bercuti ke Jepun pada hujung Januari lalu.

“Sebelum arwah meninggal, kami memang ada perancangan nak beli rumah. Saya beritahu dia saya mahu pindah rumah yang dekat dengan tempat kerja saya, tapi hasrat tak kesampaian.

“Saya juga sudah merancang nak bawa isteri dan anak saya ke Jepun pada hujung bulan Januari, tapi semua tak sempat,” katanya.  

Dalam pada itu, Amirul Nafis meluahkan rasa syukur kerana dirinya merupakan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) dan turut menerima faedah Suri Rumah Berinsurans (SRB) menerusi Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang dicarum buat isterinya sejak tahun lalu.

“Bantuan RM300 itu saya terus jadikan simpanan anak dalam akaun ASB. Walaupun nilainya mungkin kecil bagi sesetengah orang, tapi sangat bermakna untuk saya. Dengan caruman hanya RM120 setahun, manfaatnya sangat besar,” katanya.

Jelasnya, caruman itu kini menjadi tanda kasih sayang abadi buat arwah isteri, malah memberi keyakinan kepadanya untuk meneruskan kehidupan bersama anak kecilnya.

“Saya harap suami-suami di luar sana carumlah untuk isteri masing-masing. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku. RM120 setahun tidak ternilai dengan pengorbanan seorang isteri dan tugasnya,” katanya.

Sempena Merdeka 2025, saksikan kisah benar rakyat Malaysia yang bangkit membina semula kehidupan mereka. Dengarkan suara mereka. Hayati semangat juang mereka.

Tonton dan sokong kisah pilihan anda.

https://www.utusan.com.my/kempen-hati-mulia-2025/





Source link