KUALA LUMPUR: “Harapan saya dihujung semua yang berlaku ini ada perkara baik yang muncul di kemudian hari.“
Demikian doa dititipkan pelakon Kamal Adli sempena ulang tahun perkahwinannya yang ke-4 dengan pelakon, Uqasha Senrose yang jatuh hari ini.
Kata Kamal, dia berlapang dada meskipun terpaksa menyambut hari istimewa itu tanpa kehadiran isteri dan anak tersayang.
“Sepatutnya ada sambutan, tetapi bila sudah jadi begini, tak mengapalah. Cuma saya nak maklumkan yang hari ini ulang tahun perkahwinan kami. Itu sahaja.
“Tahun ini sambutan itu berlainan sedikit. Saya raikan sendirian sahaja. Malah saya ambil beberapa cuti beberapa hari untuk berehat daripada aktiviti penggambaran.
“Harapan saya dihujung semua yang berlaku ini ada perkara baik yang bakal muncul di kemudian hari. Harapan itu juga ditujukan untuk anak dan isteri saya,” katanya.
Kamal ditemui media sempena pelancaran dan sidang media drama Bahagia Yang Tertangguh dan Impiana Karma petang tadi.
Uqasha Senrose pada 1 Oktober lalu telah memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur atas alasan tiada persefahaman.
Pasangan ini telah dilaporkan tidak lagi tinggal sebumbung sejak April 2025 dan Uqasha kini menetap bersama ibunya.
Prosiding kes itu masih dalam proses mahkamah, dan peguam Uqasha telah menarik diri daripada mengendalikan kes tersebut.
Kamal dalam masa yang sama memaklumkan pada tahap ini dia berserah dan terus menaruh harapan agar perkahwinannya dapat diselamatkan.
“Tiada manusia untuk saya adukan atau ceritakan masalah ini. Saya hahya mengadu kepada Allah sahaja. Itu yang diajar oleh ibu dan ayah saya.
“Itu yang saya lakukan sekarang selain banyak mendiamkan diri. Tak perlulah saya nak buka aib atau burukkan sesiapa.
“Saya bukan mahu menagih simpati. Cukuplah doakan yang terbaik untuk saya dan keluarga saya. Saya gembira dan saya mahu anak serta isteri saya pun gembira juga,” kongsinya.
Untuk rekod, Kamal dan Uqasha sah bergelar suami isteri pada November 2021 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Hawra Uqaira. – UTUSAN






