PARLIMEN | Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata dia menggunakan kuasanya yang diberikan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mempertimbangkan permohonan tujuh pemain warisan untuk diberikan kerakyatan Malaysia.
Mengulas isu itu di Dewan Rakyat, Saifuddin berkata Perkara 20(1)(e) memperuntukkan kuasa budi bicara kepada menteri dalam negeri apabila mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan daripada warga asing, khususnya dalam memenuhi syarat pemastautin minimum.
“Dalam perlembagaan juga ada satu seksyen namanya seksyen 20(1)(e) di mana menteri boleh guna kuasa budi bicaranya.
“Kuasa 20(1)(e) ini bermaksud, maksud pemastautin itu seperti dalam perlembagaan membenarkan keberadaan pemohon itu di luar pun bolehlah dianggap dia berada dalam negara.
“Begitu bahasa perundangan dalam buku ini, dalam kitab ini. Saya guna pakai perkara 20(1)(c) ini bagi memenuhi syarat pemastautin itu,” katanya semasa Sesi Pertanyaan Menteri.
Saifuddin menjawab pertanyaan berhubung kontroversi yang menyelubungi pemberian kerakyatan kepada tujuh pemain bola sepak, yang telah diragui oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Dia menegaskan bahawa kesemua tujuh pemain itu telah memenuhi semua syarat di bawah undang-undang Malaysia untuk diberikan kerakyatan, termasuk mempunyai kemahiran dalam bahasa Malaysia.
Menurut menteri itu, para pemain telah mempamerkan kecekapan yang mencukupi dalam bahasa kebangsaan seperti ujian asas oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
“(Mereka) mempunyai pengetahuan Bahasa Malaysia yang cukup, atau seperti yang digambarkan oleh Jerlun, memadai.
“Maknanya bila kita cakap, dia faham,” kata Saifuddin di Dewan Rakyat.
[Laporan penuh menyusul]
*Laporan oleh Hariz Mohd, Qistina Nadia dan B Nantha Kumar






