Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan dia sentiasa prihatin terhadap kebajikan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, usaha menghargai petugas kesihatan sentiasa menjadi keutamaan kementerian itu, termasuk penganjuran majlis sambutan Aidilfitri yang berlangsung di Putrajaya pada Selasa lalu.
“Saya cukup sedar dan cukup insaf akan usaha-usaha kami untuk memberikan kebajikan dan (sambutan Hari Raya) ini (juga) adalah untuk meraikan warga besar KKM.
“Bukan saja di Putrajaya tetapi mereka yang datang dari tempat lain, dari hospital-hospital dan klinik-klinik KKM semua, termasuklah rakan strategik KKM dan agensi-agensi yang lain.

“Setiap tahun kita meraihkannya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025: Pemakanan di KKM, Putrajaya, hari ini.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata demikian ketika diminta mengulas majlis sambutan Aidilfitri yang dihiburkan oleh selebriti terkenal tanah air, seperti Siti Nurhaliza dan Jamal Abdillah.
Persembahan artis popular itu turut diserikan dengan kehadiran penari latar di atas pentas.

Namun, penganjuran majlis tersebut mengundang kritikan daripada netizen, termasuk individu yang dipercayai petugas kesihatan, yang mempersoalkan perbelanjaan acara itu ketika kakitangan KKM berdepan bebanan kerja dan kekangan bajet.
Jamal semalam berkata dia bersetuju membuat persembahan setelah menerima jemputan daripada Ketua Setiausaha KKM, yang dikenalinya secara peribadi.
Jamal turut memaklumkan menerima “sagu hati kecil” sebagai tanda penghargaan daripada kementerian tersebut.
Sementara itu, Siti pula menjelaskan dia tidak menerima sebarang bayaran untuk persembahan pada majlis berkenaan, sekali gus menafikan dakwaan pengguna media sosial.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata dia tidak pernah meminggirkan kebajikan warga kerja KKM dan sentiasa memperjuangkan hak mereka termasuk isu kenaikan elaun.
“Pastinya kita akan sentiasa menjaga (kebajikan petugas KKM), semua rakan-rakan media juga tahu saya memperjuangkan hal-hal yang terkait dengan apa yang disebutkan sebagai kenaikan elaun (petugas KKM), ETAP (elaun tugas atas panggilan) dan ia telah pun mendapat persetujuan (kerajaan).
“Cuma untuk mengumumkan jumlahnya itu, saya diminta untuk tunggu tentang pengumuman itu dan saya kata biar mereka umumkan. Itu sangat penting, itu perjuangan yang saya telah perjuangkan dan begitu juga hal-hal lain yang lain terkait dengan perkara-perkara yang dibangkitkan,” katanya.
Selain itu, Dzulkefly turut memaklumkan bahawa kementeriannya juga telah mendapat persetujuan berkaitan fee schedule bagi hospital dan klinik swasta.