Menteri Besar Kedah Sanusi Nor menafikan penglibatan dalam projek fidlot yang dikaitkan dengan pertuduhan rasuah terhadap Ahli Parlimen Padang Serai, Azman Nasrudin.
Menegaskan bahawa kesalahan yang didakwa melibatkan projek di bawah pentadbiran kerajaan negeri terdahulu, Sanusi – yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah – berkata perkara itu “zaman sebelum saya jadi menteri besar.”
“Saya tak tau sebab tu zaman sebelum saya jadi menteri besar, sebelum saya masuk sini (Wisma Darul Aman), sebelum tahun 2020.
“Saya tak tau kejadian, peristiwa itu saya tak pasti, saya tak tau apa, saya pun tengok surat khabar saja,” katanya pada sidang media di Alor Setar hari ini.
Tambahnya, projek tersebut sudah tidak berjalan selepas Kedah Agro Holding Bhd (KAHB) dibubarkan dan kemudiannya diswastakan.
“Kedah Agro sudah ditutup. Bila tutup makna tak ada aktiviti, tutup buku. Kedah Agro tutup apabila kita buat Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan hentikan operasi.
“Sekarang ada syarikat swasta ambil alih Kedah Agro. Ini kes lama sebelum 2020, menteri besar orang lain, exco pun orang lain. Beliau (Azman) salah seorang exco pada masa itu,” katanya.
Sanusi memegang jawatan menteri besar pada Mei 2020, selepas peletakan jawatan Mukhriz Mahathir.

Azman pula dituduh bersubahat dengan seorang ahli perniagaan menerima rasuah RM400,000 bagi projek fidlot kerajaan negeri, dengan kesalahan itu didakwa berlaku pada 23 Jun 2020 — ketika dia memegang portfolio exco pertanian Kedah.
Azman didakwa mengarahkan KAHB mengeluarkan surat tawaran kepada peniaga Hassanaim Fauzi, yang membayar rasuah tersebut.
Rasuah itu didakwa diberikan kepada seorang lagi ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar, yang turut didakwa meminta dan menerima suapan daripada Hassanaim.
Amar dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM, manakala Azman didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) kerana bersubahat. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.
‘Bermotif politik’
Sanusi turut mengulangi dakwaan Azman bahawa pendakwaan itu bermotif politik, menyatakan bahawa ada sesuatu yang pelik.
“Tapi yang beri orang lain, yang ambil orang lain, yang kena orang lain pelik kan.
“Dia pun ada buat sidang akhbar kata ini pendakwaan bermotif politik, semua orang tahu siapa yang ikuti benda itu nampak dengan jelas,” katanya.
Azman sebelum ini mendakwa tindakan terhadapnya adalah pendakwaan terpilih, kononnya sebagai balasan selepas dia mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim di media sosial berhubung kes rasuah melibatkan bekas pembantu Anwar, Shamsul Iskandar Akin.
Peguam Azman, N Surendran, turut berkata pasukannya percaya pertuduhan itu “cacat, bertentangan undang-undang dan menyalahi proses mahkamah”.
Sanusi turut mengesahkan PN tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Azman selagi kes belum diputuskan.
“Tak ada tindakan apa dia bukan salah lagi, dia didapati bersalah apabila mahkamah putuskan bersalah baru bersalah,” katanya lagi.






