Malaysia Oversight

Saya baru tahu, kematian pun ada waktunya manis – Wan Hanafi Su

By Utusan in September 24, 2025 – Reading time 2 minute
Saya baru tahu, kematian pun ada waktunya manis - Wan Hanafi Su


KUALA LUMPUR: Pelakon berpengalaman, Wan Hanafi Su mengakui filem terbaharu lakonannya, Badak, membuka ruang renungan mendalam tentang makna sebuah kematian yang dilihat dari sudut berbeza.

Sepanjang 47 tahun bergelar anak seni, beliau berkata filem arahan M. Raihan Halim itu berjaya menyentuh perasaannya secara peribadi dan membawa kefahaman baharu mengenai erti kehilangan.

“Saya lebih suka mendengar sekarang. Ada satu perkara yang sangat terkesan, saya baru tahu kematian pun ada waktunya manis,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana Badak di Mid Valley, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Wan Hanafi berkata tema yang dibawa pengarah bukan sekadar berkenaan kehilangan, sebaliknya menyentuh sisi spiritual kematian yang mampu melahirkan harapan dan kesedaran untuk terus melangkah ke hadapan.

“Saya fikir itu yang pengarah cuba angkat. Kalau kita renung betul-betul, kematian itu boleh jadi sesuatu yang manis kalau ia membina hidup. Saya masih terasa hal itu sampai sekarang. Selebihnya, sekali lagi, saya hanya mahu mendengar,” katanya yang membawakan watak  bernama Abah.

Badak mengisahkan seorang bapa pekak, Badak (lakonan Shaheizy Sam), yang membesarkan anak tunggalnya, Mirah (Aida Amron) secara bersendirian. Mirah amat mencintai muzik, mewarisi minat daripada datuknya, seorang penyanyi veteran lakonan Wan Hanafi Su.

Namun, hubungan antara bapa dan anak itu mula retak apabila Badak merasakan anaknya semakin menjauh. Filem yang menyentuh emosi dan nilai kekeluargaan ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 2 Oktober 2025. -UTUSAN





Source link