Malaysia Oversight

Satu lagi ladang babi di Tasek Gelugor dijangkiti ASF

By MkiniBM in August 13, 2025 – Reading time 2 minute
Satu lagi ladang babi di Tasek Gelugor dijangkiti ASF


Sebuah lagi ladang di Kampung Selamat, di Tasek Gelugor dijangkiti penyakit demam Afrika (ASF) menjadikan keseluruhan ladang di kawasan itu yang positif ASF kepada lima.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata situasi penyakit berkenaan bagaimanapun masih terkawal dan kes terbaharu itu dikesan selepas pihaknya mendapat pengesahan hasil ujian makmal yang dijalankan baru-baru ini.

“Sehingga 1 Ogos, 2,060 ekor babi dari empat ladang di situ telah dilupuskan melibatkan 351 babi yang mati akibat jangkitan ASF manakala 1,709 dilupuskan bagi membendung penularan penyakit berkenaan.

“Keadaan penyakit itu juga tidak seteruk yang dicatatkan seperti kes ASF di Seberang Prai Selatan (SPS) pada 2023,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihaknya masih membuat pemantauan rapi di kawasan ladang babi di Kampung Selamat dan ujian darah haiwan berkenaan turut dijalankan secara berkala bagi mengesan jangkitan ASF.

Saira Banu berkata pihaknya juga menjalankan kerjasama rapat dengan penternak babi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan langkah biosekuriti dipatuhi dengan ketat bagi mencegah penularan virus itu.

Beliau berkata pada peringkat ini, JPVPP belum boleh mengisytiharkan Kampung Selamat sebagai zon bebas ASF kerana masih menjalankan pemantauan rapi bagi membendung penyakit berkenaan.

Pada 12 Julai lepas, tiga ladang babi di Kampung Selamat di Tasek Gelugor disahkan positif ASF berdasarkan keputusan ujian makmal oleh Makmal Veterinar Zon Utara, dengan dua daripadanya menunjukkan kadar kematian ternakan yang tinggi sebelum satu lagi ladang disahkan dijangkiti ASF pada 27 Julai lepas.

Kampung Selamat mempunyai 63 ladang babi melibatkan kira-kira 120,000 ekor.

– Bernama



Source link