Tokoh besar kesusasteraan Melayu moden, Abdul Rahman Hanafiah atau lebih dikenali dengan nama penanya, Mana Sikana, meninggal dunia pagi tadi pada usia 80 tahun.
Berita pemergiannya dimaklumkan oleh menantunya, Adam Selamat Musa, menerusi satu hantaran di Facebook yang menyatakan Abdul Rahman telah menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 10.30 pagi.
“Salam. Bapa mentua saya, Abdul Rahman bin Napiah (Mana Sikana), baru sahaja menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.30 pagi tadi.
“Jenazah masih berada di hospital. Mohon doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan dikurniakan syurga tanpa hisab. Amin,” katanya.
Abdul Rahman berasal dari Bagan Serai dan dilahirkan pada 9 Oktober 1945. Pada tahun 1973, Mana Sikana lulus penuh Sijil Tinggi Persekolahan yang melayakkannya menyambung pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekitar 1974 hingga 1978 atas pembiayaan biasiswa UKM dan berjaya meraih Sarjana Muda Persuratan Kelas Pertama.
Dia kemudiannya meneruskan pendidikan sarjana dari 1980 hingga 1981 dan menerima ijazah doktor falsafah (PhD) pada tahun 1991.
Anak jati Perak itu berketurunan Banjar itu merupakan pengarang kedua dari negeri tersebut – selepas Suhaimi Muhammad yang telah diangkat sebagai Sasterawan Perak, selain diiktiraf sebagai antara pengkritik dan pengkaji sastera paling prolifik dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden.
Sebagai penulis dan pengkaji, dia menghasilkan lebih 100 buah buku — merangkumi karya kreatif dan bukan kreatif — serta menjadi penyelenggara kepada pelbagai antologi dan buku kajian sastera.
Antara karya cerpen pentingnya termasuk Jejak yang Hilang (1984), Abzyx (1986) dan Nusia (2002). Dalam bidang drama, karya seperti Tok Awang (1984), Hikmah (1998), Hikmah Bunuh Apa-apa (2014), dan Di Hujung Taming Sari (2020) mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pengarang tersohor.
Novel-novelnya pula termasuk Ronjang (1984), Klimak (1989) dan Syajar (1996). Dalam lapangan akademik, dia dikenali melalui buku-buku penting seperti Teras Sastera Melayu Moden (1982), Teori Sastera Moden (1990), Teori dan Kritikan Sastera Pascamodenisme (1998), serta Teori dan Kritikan Sastera (2002).
Pemergiannya hari ini dilihat sebagai kehilangan besar buat dunia sastera dan akademik negara.