Malaysia Oversight

Sasar OKU, asnaf dan Orang Asli tambah kemahiran TVET

By Utusan in August 28, 2025 – Reading time 2 minute
Sasar OKU, asnaf dan Orang Asli tambah kemahiran TVET


IPOH: Ditubuhkan dua tahun lalu, Akademi Legasi Fauzana di Simpang Pulai di sini menyasarkan golongan orang kurang upaya (OKU), asnaf dan Orang Asli untuk latihan berkaitan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Akademi tersebut menawarkan kursus berkaitan dandanan rambut, urutan terapi, sukan, refleksologi, spa, dandanan pengantin, rawatan kuku dan pembuatan minyak sapu.

Pengusaha akademi tersebut, Noor Fauzana Ahmad Nawawi, 44, berkata, sejak akademi itu ditubuhkan pada Mei 2023, pihaknya telah menganjurkan lebih 20 kursus kemahiran.

Menurutnya, penganjuran kursus berkemahiran dan berpendapatan tinggi di akademi itu sudah membantu ratusan peserta terutama golongan B40, asnaf, suri rumah, orang susah, warga emas dan Orang Asli.

“Kesemua kursus kemahiran TVET yang diadakan di akademi ini tidak mengambil masa yang lama namun peserta mendapat latihan secukupnya berkaitan kemahiran TVET.

“Latihan yang diterima membuka peluang kepada mereka untuk mempunyai perniagaan sendiri, menambah pendapatan seterusnya meningkatkan taraf kehidupan dan keluarga,” katanya.

Noor Fauzana menimba pengalaman menerusi program Biz Coach anjuran Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) yang membantu aspek pengurusan perniagaan, bantuan geran dan input mengembangkan bisnes serta pengurusan secara holistik.

Selain itu, beliau menerima bantuan dan mengadakan kerjasama strategik bersama Majlis Agama dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak).

Bantuan dan sokongan yang diterimanya daripada agensi negeri selaras dengan Flagship keempat pelan Perak Sejahtera 2030, iaitu Koridor TVET Malaysia dan Flagship kelima, Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan.

Bantuan tersebut juga bertepatan dengan Flagship keenam pelan tersebut iaitu Membasmi Miskin Tegar 2025, hasil cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Noor Fauzana berkata, pihaknya juga mendapat projek Proper A MAIPk berkaitan gunting rambut lelaki dan wanita melibatkan 25 golongan asnaf negeri khususnya belia.

Katanya, selain menerima bantuan geran berbentuk peralatan, mereka juga mendapat sebuah motosikal baharu bersifat mobile yang memudahkan berhubung secara bersemuka sehingga di kediaman pelanggan.

“Majoriti pelanggan mereka ialah OKU selain individu yang tidak sempat pergi sendiri ke kedai gunting rambut kerana kekangan tertentu.

“Belia Orang Asli juga semakin sedar akan kepentingan melibatkan diri dalam kemahiran TVET yang berkaitan kursus dandanan rambut sebagai inisiatif memajukan diri pada masa depan,” katanya. – UTUSAN

 





Source link