Akhbar harian di Sarawak, Sarawak Tribune, memohon maaf berhubung kesilapan laporan versi cetakannya semalam mengenai pembunuhan wartawan Al Jazeera, Anas Al Sharif di Gaza, yang digambarkan sebagai seorang militan.
“Kami memohon maaf tanpa syarat kepada keluarga, rakan sekerja, dan sahabat Anas Al Sharif, serta kepada para pembaca dan seluruh komuniti media, atas sebarang kesulitan yang timbul.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa kami berdiri teguh menentang pembunuhan wartawan dan penindasan kebebasan media di mana-mana sahaja di dunia,” menurut akhbar itu hari ini.
Permohonan maaf itu dibuat susulan kritikan warganet terhadap tajuk laporan mengenai kematian Anas yang berbunyi “Militant using press cover eliminated” (Militan guna identiti media dibunuh).
Anas, antara wartawan paling dikenali yang membuat liputan dari medan perang di Gaza, terbunuh bersama beberapa petugas media lain dalam serangan terancang Israel terhadap sebuah khemah yang menempatkan wartawan di Kota Gaza pada Ahad.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua anak.

Menurut Al Jazeera, serangan terhadap khemah di luar pintu utama Hospital al-Shifa di Kota Gaza itu turut mengorbankan koresponden Al Jazeera, Mohammed Qreiqeh; jurukamera Ibrahim Zaher dan Mohammed Noufal; jurukamera bebas, Momen Aliwa serta wartawan bebas, Mohammed al-Khalidi.
Rangkaian Media Al Jazeera mengecam pembunuhan itu sebagai “satu lagi serangan terang-terangan dan dirancang terhadap kebebasan media”.
“Serangan ini berlaku di tengah-tengah kesan kemanusiaan yang amat dahsyat akibat serangan Israel yang berterusan di Gaza, termasuk pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam, kebuluran paksa, dan pemusnahan seluruh komuniti,” kata rangkaian itu.
“Perintah untuk membunuh Anas Al Sharif, salah seorang wartawan paling berani di Gaza, bersama rakan-rakannya, adalah percubaan terdesak untuk membungkam suara yang mendedahkan rancangan rampasan dan pendudukan Gaza yang bakal berlaku.”
Nafi promosi agenda Zionis
Mengakui artikel mengenai kematian Anas tidak menepati standard ketepatan tinggi, Sarawak Tribune menolak tuduhan bahawa mereka mempromosikan naratif Zionis.

“Kami menolak sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.
“Sarawak Tribune tidak pernah dan tidak akan sesekali menyokong atau mempromosikan mana-mana agenda yang menjejaskan hak, maruah, dan keselamatan wartawan atau orang awam yang tidak bersalah, tanpa mengira kewarganegaraan, etnik, atau agama.”
Pihak akhbar itu juga berkata mereka akan melaksanakan beberapa langkah bagi mengelakkan perkara sama berulang.
Antaranya memastikan pengesahan daripada pelbagai sumber bagi berita berkaitan konflik; melaksanakan langkah pemeriksaan fakta tambahan sebelum penerbitan dan menyediakan latihan lanjut kepada pasukan editorial mengenai pelaporan dalam konteks berisiko tinggi serta sensitif.
NGO berang
Sementara itu, NGO tempatan Penang4Palestine mengecam akhbar berkenaan dan berkata laporan itu mencemarkan reputasi media tempatan, sambil menggesa agensi tersebut memohon maaf sekali lagi.
Pengerusinya, MS Anuar Mahmod, turut menggesa MCMC memantau dan mengambil tindakan terhadap media tempatan yang menerbitkan naratif berat sebelah yang boleh menjejaskan kepentingan awam dan reputasi negara.
“Sejarah akan menilai bagaimana wartawan dan organisasi media memilih untuk melaporkan — atau memutarbelitkan — kebenaran ketika berdepan krisis kemanusiaan.
“P4P berdiri teguh bersama semua wartawan yang mempertaruhkan nyawa demi menyampaikan kebenaran, dan menegaskan bahawa wartawan bukan sasaran perang — mereka adalah pelindung fakta dan suara rakyat,” katanya.