Kerajaan pusat kini dilihat sedang membangunkan aplikasi perkhidmatan kerajaan digital sehenti MyGov untuk memudahkan rakyat Malaysia mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan tanpa perlu ke kaunter-kaunter fizikal, kini kerajaan Sarawak juga dilihat telah mengumumkan bahawa mereka akan membangunkan aplikasi yang sama untuk rakyat negeri itu.
Dinamakan Sarawak Pass, aplikasi ini diumumkan sewaktu acara International Digital Economy Sarawak 2025 (IDECS 2025) yang sedang berlangsung di Kuching, Sarawak. Ia merupakan penjenamaan semula aplikasi Sarawak ID sebelum ini yang merumahkan identiti digital rakyat Sarawak.

Perkara ini diumumkan oleh Premier Sarawak, Yang Amat Bahagia Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari sewaktu acara pelancaran acara IDECS 2025. Aplikasi ini juga akan dibangunkan oleh Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS).
Melihat kepada aplikasi-aplikasi berasaskan Sarawak yang kini boleh dimuat-turun, Sarawak Pass dijangka akan menggabungkan fungsi-fungsi aplikasi kerajaan dan dompet digital tempatan seperti SarawakID, SPay Global (Sarawak Pay), Service Sarawak dan Sarawak Gov dalam satu aplikasi untuk mengurangkan keperluan memuat-turun begitu banyak aplikasi pada peranti pintar pengguna.
Buat masa ini, aplikasi Sarawak Pass ini masih lagi sedang dibangunkan, dengan pengenalan aplikasi tersebut akan diperlihatkan apabila ia sedia untuk diumumkan kelak.






