Seorang jurusolek didenda RM4,900 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan menggalakkan maksiat dengan menawarkan perkhidmatan urutan dan seks, tahun lalu.
Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, membuat keputusan itu selepas Mohamad Haikal Izzuwan Adun, 20, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa.
Mohamad Haikal turut diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan menggalakkan orang lain melakukan maksiat dengan mengiklankan perkhidmatan urutan dan seks melalui aplikasi WeChat.
Dia didakwa menggunakan nama “Sara Tukang Urut” dan dan melakukan kesalahan tersebut kira-kira jam 10 malam pada 1 Okt 2024.
Kesalahan berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 42 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana menggalakkan maksiat, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun.
Mohamad Haikal yang tidak diwakili peguam memohon agar diberikan hukuman ringan kerana perlu menjaga neneknya yang telah membesarkan dia sejak ditinggalkan ibu bapa ketika masih kecil.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Kamalruazmi menasihati tertuduh supaya segera bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah memandangkan hukuman dijatuhkan oleh mahkamah adalah sebagai peringatan serta pencegahan, namun tidak mampu menghapuskan dosa dilakukan.
Semalam, Mohamad Haikal didenda RM2,500 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Rendah Syariah Kemaman di bawah seksyen 33 enakmen sama kerana berpakaian dan berkelakuan seperti perempuan.
– Bernama