Malaysia Oversight

Sapuan penuh tenaga Suzlee mentafsir keindahan Malaysia

By MkiniBM in May 24, 2025 – Reading time 3 minute
Sapuan penuh tenaga Suzlee mentafsir keindahan Malaysia


ULASAN SENI | Dalam dunia seni abstrak yang sentiasa berkembang, hanya segelintir nama mampu bertahan dan menyerlah sekuat Suzlee Ibrahim.

Memasuki dekad kelima dalam kerjaya seninya, dia bukan sahaja seorang pelukis prolifik, malah pencetus budaya yang berani.

Himpunan karyanya pelbagai dan menyerupai simfoni visual, yakni satu permainan antara emosi, pergerakan, tenaga dan pemikiran bawah sedar yang dilakarkan melalui lapisan warna, bentuk dan dilakukannya dengan berani.

Bermula dengan Movement Series pada 1995, ia menjadi satu permulaan yang tepat bagi seorang seniman yang sentiasa bergerak baik dari segi logika atau metafora.

Dari siri sulung itu, lahirlah lebih daripada 50 siri karya sehingga kini, dengan setiap satu membawa jiwa dan konsep tersendiri.

Ada yang bertemakan geografi seperti Kinabalu, Langkawi, Cenang, Sahara, Tasik Banding; dan ada juga yang lebih peribadi seperti Meditation, Poem, Melody, Isolation, dan Borders.

Sama ada bersandarkan tempat atau menyelami diri sendiri, setiap karya Suzlee menjadi catatan dalam diari kehidupannya.

370c022d438cb7717cbee0a70182c8a6

Karya-karya bersirinya tidak mempunyai bilangan tertentu yang mesti disiapkan. Ada siri yang hanya tiga keping manakala dalam siri yang lain Suzlee menghasilkan lebih daripada 10.

Dan dia tetap teguh dalam aliran abstrak ekspresionisme walaupun rakan seangkatannya lebih menumpukan kepada kerja-kerja figuratif atau minimalisme.

Walaupun karya-karyanya mungkin dilihat terhasil daripada kespontanan namun jika diperhatikan dengan lebih dalam, segala apa yang disebut sebagai spontan itu sebenarnya memang dirancang.

Idea dari anak saudara

Sapuan berusnya boleh jadi halus dan tajam, atau lebar dan mengalir, menjalar di atas kanvas seperti tulisan kaligrafi yang penuh tenaga.

Lukisannya sering menampilkan lapisan-lapisan cat, garisan bertenaga, dan bentuk-bentuk pecah dan kadang-kadang dalam putaran yang mememingankan.

Kadang-kadang penuh dengan ketegangan namun warna-warna merah,biru dan kuning yang kuat memakan ruang menjadi tukang imbang kepada segala kecelaruan yang memenuhi ruang kanvas.

Kesunyian yang dirasakan semasa dunia dilanda pandemik Covid-19 telah menghasilkan satu siri baru kepada pelukis ini.

5e75439401912c8da7fd9b3b3a3036c0

Yang menariknya, menurut Suzlee, kehadiran anak saudaranya – Kina – di studio telah mencetuskan idea untuk siri Nerlemaam.

Minat Kina terhadap origami menjadikan karya-karyanya yang selama ini agak organik bentuknya bertukar kepada gabungan organik dan juga geomatrik.

Idea dan karya-karya yang terbaru tersebut kemudiannya membawa kepada Borders Series.

Melalui pameran solo yang ke-50 – yang digelarnya sebagai Borders Series: A Journey Between Movement And Serenity – diadakan di Galeri G13, Suzlee membawa peminat catan ke suatu daerah yang baru dalam perjalanan seninya.

Suzlee merupakan antara artis Malaysia yang paling prolifik di peringkat antarabangsa.

Dari Macedonia ke Denmark, Jepun ke Tunisia, Bangladesh ke Turki, dia membawa bahasa seni abstrak Malaysia ke pentas dunia.

Lukisannya bertajuk Poem yang datang dari Meditation Series, mencatat rekod sebagai lukisan abstrak terpanjang dalam galeri di Malaysia. Dengan saiz sepanjang 18.3 meter ia menerima pengiktirafan dari Paris hingga ke Emiriah Arab Bersatu.

b3a9ae99f9a82f3ca89027d3f51ef4bb

Karya-karya Suzlee biasanya diinspirasikan oleh alam semula jadi seperti hutan tropika, pantai, dan juga budaya setempat.

Namun hasilnya bukan gambaran literal, sebaliknya interpretasi emosi dan memori.

Seperti yang pernah dikatakan olehnya, Malaysia kaya dengan “simbolisme dan keindahan persekitaran”, dan semua itu diterjemahkan ke atas kanvas melalui bentuk dan warna, bukan bentuk realistik.

Sama ada dalam irama meriah Dragon Dance, suasana mendung dalam Monsoon, atau nostalgia dalam Batik Series, setiap satu mencerminkan pengalaman dan semua itu dianggap sebagai peribadi.

Suzlee juga dipilih sebagai seniman yang akan membuat penampilan khas untuk program Artober iaitu sebuah acara seni yang terbesar di negara ini yang dibawakan oleh CIMB Group.

Pameran Borders Series berlangsung dari 17 Mei sehingga 7 Jun ini.



Source link