Kementerian Komunikasi digesa supaya memainkan peranan dengan lebih proaktif memberi penjelasan kepada rakyat berhubung insentif kerajaan dalam usaha mensejahterakan rakyat.
Mohd Sany Hamzan (PH- Hulu Langat) berkata, banyak insentif yang dinikmati rakyat, namun mereka tidak tahu ia adalah pemberian kerajaan.
“Gaji kakitangan kerajaan hari ni naik…RM18 bilion dibelanjakan oleh kerajaan Madani untuk menaikkan gaji kakitangan dan pegawai kerajaan.
“Banyak lagi insentif yang dibagi kerajaan perpaduan yang terdapat dalam negara kita.
“Cuma Kementerian Komunikasi ni saya nampak kena ‘perderas’ sikit untuk menerangkan tentang insentif-insentif, kebajikan, kemudahan-kemudahan yang diberikan kerajaan Madani kepada masyarakat yang terdapat dalam negara kita.
“Dia (rakyat) ambil, dia rasa tapi kadang-kadang dia tak tahu bajet peruntukan atau bantuan itu diberikan oleh kerajaan perpaduan,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu Mohd Sany turut membangkitkan isu kenaikan harga barang yang disentuh oleh ahli parlimen pembangkang.
Meskipun mengakui harga barang jarang mengalami penurunan, namun Sany berkata apa yang lebih penting adalah bagaimana kerajaan menangani isu peningkatan harga.
“Saya sekolah dulu nasi lemak ‘seposen’, sekarang ni anak-anak kita, cucu kita, mak bapak dia bagi belanja dekat RM10…maksudnya harga barang tak pernah turun.
“Harga barang memang naik. Bagaimanapun kerajaan membantu rakyat hari ini, sebab tu kita tengok ada program macam sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sara,” katanya lagi.






