Sekali lagi tiada pertandingan bagi lima jawatan tertinggi PAS pada muktamar parti itu akan datang.
Ini selepas Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Noor sekali lagi menolak pencalonan untuk bertanding salah satu daripada tiga jawatan naib presiden PAS.
Media melaporkan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mengesahkan perkara itu dalam sidang media hari ini.
Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS yang disandang Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man tidak pernah ditandingi sejak 2015.

Sementara itu, jawatan naib presiden PAS yang kini dipegang Ahmad Samsuri Mokhtar, Mohd Amar Nik Abdullah dan Idris Ahmad kali terakhir dipertandingkan pada 2021.
Di bawah sistem pemilihan PAS, calon-calon dicalonkan oleh kawasan dan bukannya menawarkan diri secara peribadi.
Sanusi telah tiga kali dicalonkan bagi jawatan naib presiden tetapi kekal menolak untuk bertanding.
Dia juga tidak mendedahkan sebab menolak untuk terlibat dalam pemilihan parti tahun ini.