SanDisk Lancarkan Pemacu USB 1TB Terkecil Dunia
Effi Saharudin
Storan mudah alih semakin mengecil dan semalam SanDisk Extreme Fit USB-C dilancarkan sebagai pemacu USB dengan storan 1TB terkecil di dunia. Ia hanya sebesar 18.5 × 15.7 × 13.6 mm yang membuatkannya tidak terkeluar begitu ketara daripada sisi komputer riba dan telefon pintar apabila digunakan.

Pemacu menyokong antaramuka USB 3.2 Gen 1 yang membolehkan pemindahan data sehingga 400MB/s. Selain versi 1TB, SanDsick turut menawarkan storan dalam saiz 64, 128, 256 dan 512 GB. Menurut SanDisk, pemacu USB kompak ini memang direka untuk dipasang kemudian tidak perlu ditanggalkan.
Sebagai insan yang pernah secara tidak sengaja mematahkan pemacu USB kerana terlupa ia bersambung pada sisi komputer, SanDisk Extreme Fit USB-C boleh mengelakkan ia daripada berulang. Pemacu belum lagi ditawarkan di Malaysia tetapi di Amerika versi 1TB dijual pada harga $109.99 (~RM 460) sebuah.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






