Polis mengklasifikasikan kejadian membabitkan saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan rasuah bekas menteri kewangan Lim Guan Eng sebagai kes samun.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Shahrulnizam Ja’afar mengesahkan kejadian itu tiada kaitan dengan sebarang prosiding mahkamah yang sedang berjalan.
Dalam kenyataan selepas itu, Shahrulnizam berkata beberapa suspek yang bersenjatakan parang dan memakai penutup muka, memecah masuk ke sebuah rumah di Jalan Bukit Gasing dan melarikan barangan berharga yang disimpan dalam peti besi.
Penjenayah dilaporkan melarikan diri dari tempat kejadian melalui laluan hutan di belakang rumah itu.
Shahrulnizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan, iaitu samun berkumpulan menggunakan senjata.
Dia turut menggesa mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222, atau pegawai penyiasat ASP Fandhi Fatullah Abu Bakar di talian 014-6303090.
Terdahulu, sumber yang rapat dengan perbicaraan memberitahu Malaysiakini bahawa mangsa diugut secara lisan sebelum diserang secara fizikal.
Ketika dihubungi, ketua pendakwa raya Wan Shahruddin Wan Ladin mengesahkan kejadian itu dan berkata pasukannya sedang menunggu arahan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengenai tindakan seterusnya, termasuk kemungkinan mendapatkan perlindungan mahkamah terhadap mangsa.
Dia juga berkata perkara itu akan dibangkitkan pada prosiding mahkamah seterusnya pada 19 Ogos.
Akhbar New Straits Times melaporkan terdapat 10 penyerang, yang telah mengikat dua pengawal keselamatan sebelum memecah masuk ke rumah berkenaan.
“Penyerang juga memberi amaran kepadanya supaya duduk di rumah dan tidak menjadi wira,” tambah laporan itu.
Lim, yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang, dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah membabitkan rancangan pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang dan projek jalan berkembar yang menghubungkan pulau itu ke tanah besar.