Samsung, TSMC dan SK Hynix Dikecualikan Tarif 100% Ke Atas Cip Oleh Amerika Syarikat
Effi Saharudin
Presiden Trump mengenakan tarif 100% ke atas cip dan semikonduktor yang diimport sebagai usaha mengembalikan kemampuan pengeluaran teknologi tinggi kembali ke Amerika Syarikat. Pengumuman ini mengejutkan kerana majoriti bekalan cip dunia dikilangkan di luar Amerika. Terkini Samsung, TSMC dan SK Hynix mengesahkan cip serta semikonduktor keluaran mereka tidak akan dikenakan tarif luar biasa ini.

Samsung dan SK Hynix terlepas kerana perjanjian perdagangan yang telah dipersetujui Amerika Syarikat dan Korea Selatan baru-baru ini. Sementara itu TSMC pula terlepas kerana sudahpun mempunyai kilang di Arizona yang mengeluarkan cip Apple A16, Apple S9 dan AMD Ryzen 9000. Kilang Fab 21 ini dibina di menggunakan inisiatif Akta CHIPS di bawah pentadbiran Biden.
Dalam sesi soal jawab selepas pengumuman dilakukan, Trump berkata pengecualian tarif akan diberikan sekiranya syarikat membina kilang atau mempunyai perancang membina kilang pengeluaran cip di Amerika Syarikat. Ini memberikan harapan Intel juga akan menerima pengecualian kerana seperti TSMC, mereka telah membina kilang di Amerika Syarikat selepas menerima dana CHIPS.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.