Samsung Sound Tower Ditawarkan Di Malaysia Bermula Harga RM1699 – Pratempahan Dibuka 20 Oktober 2025
Amy Maizuraa
Samsung memperkenalkan dua model speaker Sound Tower berkonsepkan pesta di acara IFA Berlin baru-baru ini. Kini, kedua-dua model tersebut akan ditawarkan di pasaran Malaysia dengan pratempahan dibuka bermula 20 Oktober 2025. Harga jualan speker ini bergantung kepada model yang dipilih:
- Sound Tower ST40F – RM 1,699
- Sound Tower ST50F – RM 2,599

Sebagai persediaan awal, Samsung menawarkan program Reservation+ (SR+) dari 6 hingga 19 Oktober 2025. Pelanggan boleh membeli baucar bernilai RM10 dan menikmati diskaun sehingga RM200 untuk pembelian Sound Tower. Baucar ini boleh ditebus antara 20 Oktober hingga 2 November 2025 dan setiap baucar sah untuk satu transaksi sahaja. Pelanggan juga dibenarkan membeli lebih daripada satu baucar.

Samsung Sound Tower ST50F dan ST40F direka khusus untuk mencipta suasana pesta meriah. Kedua-dua model dilengkapi dengan lampu LED yang berkelip mengikut irama muzik, pemegang serba guna untuk meletakkan telefon pintar atau tablet, serta roda yang memudahkan pergerakan ke lokasi acara. Kedua-dua speaker ini turut menawarkan ciri hiburan tambahan seperti mod karaoke, input gitar, dan fungsi DJ Booth bagi pengalaman audio yang lebih menarik.

Model ST50F hadir dengan kuasa output 240W, dua woofer bersaiz 6.5-inci, dua tweeter 25mm, bateri yang mampu bertahan sehingga 18 jam, serta pemegang boleh laras. Manakala ST40F menawarkan kuasa output 160W, dua woofer 5.25-inci, dua tweeter 20mm dan bateri sehingga 12 jam. Kedua-duanya juga mempunyai ciri kalis air dengan penarafan IPX4 sesuai untuk kegunaan dalam pelbagai suasana.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






