Samsung baru-baru ini telah mengacah penawaran storan dan memori terbaru mereka, iaitu Samsung Detachable AutoSSD, Samsung PM9E1 M.2 22×42 dan juga memori Samsung LPDDR6 yang dijangka akan menjadi standard memori baru untuk komputer-komputer kelas pengguna di masa hadapan.

Bermula dengan Samsung Detachable AutoSSD, storan SSD ini merupakan satu produk unik yang dihasilkan untuk industri autmotif. Ia menggunakan rekaan E1.A baru yang membolehkan komponen pengawal SSD dan juga komponen storan NAND untuk dipisahkan, menjadi dua komponen modular yang membolehkan pihak pembuat kereta untuk hanya menggantikan satu bahagian komponen, menjadikannya lebih mampu-milik untuk digantikan.
Produk kedua ialah SSD Samsung PM9E1 M.2 22×42 yang hadir menggunakan rekaan M.2 2242 yang lebih padat untuk komputer-komputer bersaiz lebih kecil. Keunikan model SSD ini ialah ia hadir dengan teknologi penghantaran data terbaru PCIe 5.0 dan akan hadir dengan pilihan storan sehingga 4TB.

Untuk pembuat komputer riba ataupun komputer kerdil, storan ini sangat berguna untuk memastikan bahawa komputer mereka hadir dengan jumlah storan mencukupi dan juga kelajuan penghantaran data pantas yang selari dengan sokongan pada CPU-CPU moden.
Komponen yang ketiga ialah modul memori LPDDR6 untuk komputer riba akan datang. Secara teknikalnya, kita tidak akan melihat penggunaan modul memori DDR6 untuk sekurang-kurangnya 1-2 tahun yang akan datang, tetapi penaiktarafan memori selalunya berlaku secara perlahan, dan akan ada fasa peralihan kepada memori lebih pantas itu.

Bercakap tentang memori pantas, memori Samsung LPDDR6 dijangka hadir dengan kelajuan awal 10.4GT/s-14.4GT/s, lebih pantas berbanding dengan penawaran memori LPDDR5X hari ini. Bukan itu sahaja, ia juga akan menggunakan kuasa elektrik yang lebih rendah, yakni meningkatkan lagi kecekapan penggunaan kuasa sesebuah komputer.
Samsung dijangka akan memperlihatkan lebih banyak butiran mengenai komponen-komponen ini sewaktu acara CES 2026 kelak yang akan berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat.






