Samsung Dilaporkan Akan Melancarkan Set Kepala MR Pada 29 September
Effi Saharudin
Samsung akan mengadakan acara Unpacked pada 4 September ini dengan ia akan menjadi platform Galaxy S25 FE, Tab S10 Lite dan Buds3 Lite dilancarkan. Wujud ura-ura cermin mata pintar dan set kepala akan dipertontonkan pada acara tersebut. Media Korea Selatan pagi ini melaporkan pada 29 September depan pula, set kepala realiti bercampur Samsung akan dilancarkan.

Set kepala Project Moohan ini sudah hampir dua tahun diacah pelancarannya dengan ia dibangunkan menerusi kerjasama Google dan Qualcomm. Pelancarannya ditangguh setahun selepas Vision Pro diperlihatkan oleh Apple dengan wujud laporan pembangunan Moohan dirombak semula.
Berdasarkan beberapa maklumat rasmi yang dikongsi, Moohan akan menggunakan sistem operasi baharu Android XR dengan ia bukan sahaja boleh memaparkan kandungan MR tetapi juala realiti maya (VR). Dari segi kemampuan ia bakal mempunyai persamaan dengan Vision Pro dan Vivo Vision yang baru sahaja dilancarkan.
Masihkah wujud pasaran untuk set kepala MR kerana Meta sendiri sudah seperti bersedia mengibarkan bendera putih dan menerjah terus ke penghasilan cermin mata pintar MR? Jualan Vision Pro yang pada awalnya menggalakkan, kini sudah kehilangan momentum kerana kurangnya aplikasi berguna.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.