PETALING JAYA: Sambutan yang dianggap ‘berlebihan’ terhadap ketibaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia semalam sebagai tindakan yang ibarat mencurah garam ke luka penduduk Gaza.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebagai pengerusi ASEAN 2025, Malaysia sepatutnya mengekalkan prinsip memperjuangkan keadilan dan kebebasan rakyat Palestin, bukannya menonjolkan imej keterlaluan ketika menerima pemimpin kuasa besar dunia itu.
“Gaya dan nada sambutan yang berlebih-lebihan terhadap ketibaan Presiden AS seolah-olah mencurah garam di luka penduduk Gaza yang masih berdarah serta mencabar sensitiviti dunia terhadap bencana kemanusiaan yang sedang berlaku.
“Ia tidak sepatutnya menjadi citra pendekatan negara dalam interaksi dengan beliau (Trump),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Semalam, Trump disambut dengan persembahan tarian dan permaidani merah sebaik tiba di Kompleks Bunga Raya, KLIA, sebelum dilihat menari bersama peserta persembahan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa menteri turut hadir menyambut ketibaan beliau.
Takiyuddin turut menggesa kerajaan agar menjadikan isu Palestin sebagai keutamaan dalam perbincangan rasmi dengan AS.
“Malaysia perlu dikenali di pentas dunia bukan sahaja sebagai negara yang maju dan demokratik, tetapi juga sebagai suara moral dunia Islam yang tegas mempertahankan keadilan, hak asasi manusia dan kebebasan semua,” katanya.
Menurutnya, kehadiran Trump ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 perlu dilihat daripada sudut hubungan diplomatik dan ekonomi tanpa mengetepikan pendirian tegas Malaysia terhadap isu Palestin. – UTUSAN





