Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menyifatkan gaya dan nada sambutan yang “berlebih-lebihan” terhadap ketibaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, ke Malaysia semalam sebagai mencurah garam ke luka penduduk Gaza.
Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut menekankan bagaimana peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean 2025 tidak seharusnya mengabaikan prinsip negara yang sentiasa berusaha untuk keadilan dan kebebasan bagi rakyat Palestin.
“Gaya dan nada sambutan yang berlebih-lebihan di pihak kita ketika menyambut ketibaan Presiden AS itu hari ini (semalam) seolah-olah mencurah garam di luka penduduk Gaza yang masih berdarah, selain mencabar sensitiviti dunia bebas terhadap bencana kemanusiaan yang berlaku.
“Ia tidak sewajarnya menjadi citra pendekatan negara dalam interaksi seterusnya dengan beliau (Trump),” kata Takiyuddin.

Sejurus selepas turun dari Air Force One semalam, Trump disambut dengan persembahan tarian ketika dia berjalan di atas permaidani merah. Dia kemudian dilihat ikut menari.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang berada di sana bersama Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, dan Duta Besar AS Edgard D Kagan untuk menyambut Trump, kelihatan gembira dengan reaksi presiden AS itu.
Ini berlaku di tengah-tengah kecaman yang semakin meningkat terhadap ketibaan Trump untuk sidang kemuncak Asean di Kuala Lumpur, dengan ramai yang mengecam penglibatan Washington dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang berterusan oleh Israel.
Mengulas lanjut, Takiyuddin seterusnya menggesa kerajaan untuk mengutamakan perjuangan Palestin dalam perbincangan rasmi dengan AS.
“Malaysia harus berdiri dan diterima di pentas dunia bukan sahaja sebagai sebuah negara yang berkembang, kompetitif, demokratik dan bermaruah, tetapi juga sebagai suara moral dunia Islam serta Negara-negara Selatan yang tegas mempertahankan kedaulatan, keadilan, hak
asasi manusia dan kemerdekaan semua,” katanya.
“PAS percaya kehadiran Trump ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak Asean 2025 harus dilihat dalam kerangka hubungan ekonomi, diplomatik dan geostrategik negara, tanpa mengetepikan pendirian Malaysia berkait isu-isu keadilan, kedaulatan dan kebebasan, khususnya melibatkan rakyat Palestin,” tambahnya.
Dalam kenyataan berasingan, pengerusi Urimai dan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy menyuarakan sentimen yang sama, menggambarkan penerimaan Trump sebagai “satu “keaiban diplomatik.”
“Mengalu-alukan pemimpin dunia ke negara ini adalah satu perkara, tetapi keterlaluan dalam berbuat demikian adalah perkara lain. Menerima tetamu mestilah berdasarkan rasa hormat dan maruah yang merupakan prasyarat untuk mengekalkan hubungan diplomatik yang baik.
“Cara Trump diterima adalah petunjuk jelas bahawa Anwar tidak begitu mempedulikan masa depan rakyat Palestin. Tiada pemimpin yang bermaruah akan menjalin hubungan baik dengan Trump tanpa mengutamakan usaha Palestin untuk keadilan dan kenegaraan,” katanya.
Ramasamy juga mengkritik jenaka Anwar tentang “melanggar peraturan” dengan melanggar protokol keselamatan ketika menaiki kenderaan rasmi presiden AS, dan kerana bergurau tentang pemenjaraannya.
Semalam, selepas menyambut orang ramai setibanya di Kompleks Bunga Raya di KLIA, Trump juga menjemput Anwar ke dalam kereta rasmi presidennya, ‘The Beast’, sebuah limosin Cadillac berperisai.
Anwar kemudian berkata bahawa perbincangannya dengan Trump di dalam kenderaan itu merangkumi pelbagai isu, dengan keutamaan diletakkan pada usaha untuk memajukan inisiatif keamanan global.
“Tindakan sedemikian tidak memberi manfaat kepada negara. Ia hanya menonjolkan kecenderungan yang membimbangkan terhadap glorifikasi peribadi dan sandiwara politik.
“Anwar seolah-olah lupa bahawa dia adalah perdana menteri Malaysia, bukan selebriti yang mencari validasi. Penghormatan yang berlebihan kepada Trump mencerminkan rasa diplomasi yang salah, yang tidak diperlukan oleh Malaysia, terutamanya apabila nasib rakyat Palestin berterusan tanpa henti,” kata Ramasamy.
Ramasamy juga menekankan bagaimana tentangan awam terhadap kehadiran Trump telah berterusan selama beberapa minggu sebelumnya, namun Anwar masih memilih untuk meneruskan jemputan ke mesyuarat itu untuk menunjukkan hubungan peribadinya dengan presiden AS.
“Sekurang-kurangnya pembangkang mempunyai kesopanan untuk menyuarakan bantahannya terhadap lawatan Trump, menyedari bahawa tiada penyokong tulen Palestin yang harus melayan pihak yang terlibat dalam penderitaan mereka,” tambahnya.






