Saman bekas menteri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap ahli parlimen PKR, Rafizi Ramli berhubung dakwaan meluluskan projek bernilai RM2 bilion ketika dalam kerajaan pada 2022 diselesaikan secara baik di luar mahkamah.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak berkata keputusan itu dibuat atas semangat penyelesaian secara berhemah serta mengelakkan perkara itu berpanjangan.
Mereka juga sepakat bahawa sebarang perselisihan atau salah faham yang berlaku wajar diketepikan demi kepentingan awam, keharmonian masyarakat serta kestabilan politik dalam negara.
“Untuk mengelakkan dari perkara ini berpanjangan, atau persoalan yang ditimbulkan oleh YB Rafizi disalahertikan oleh orang awam, atau menimbulkan salah faham terhadap YB Tuan Ibrahim Tuan Man, YB Rafizi dengan ini bersetuju untuk menurunkan kesemua posting di media sosial di bawah kawalan YB Rafizi yang bersabit dengan perkara ini.
“Memandangkan isu berkenaan keterlibatan YB Tuan Ibrahim dalam usaha penganugerahan satu projek tebatan banjir Sungai Langat 2 yang bernilai RM2 billion kepada Mangkubumi Sdn Bhd bukanlah sebenarnya tumpuan kenyataan-kenyataan media YB Rafizi terdahulu, semasa Kerajaan Caretaker oleh KASA, maka keterlibatan YB Tuan Ibrahim dalam usaha penganugerahan projek tersebut tidak lagi berbangkit di antara pihak-pihak.
“YB Tuan Ibrahim bersetuju untuk menarik balik saman sivil tersebut,” kata kenyataan tersebut.
Saman itu difailkan pada 2022 susulan kenyataan media Rafizi yang mendakwa Tuan Ibrahim telah menganugerahkan projek tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion kepada Mangkubumi ketika memangku jawatan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) selepas Parlimen dibubarkan tahun sama bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“YB Rafizi telah memajukan persoalan-persoalan tersebut melalui kenyataan-kenyataan medianya terdahulu berdasarkan kepada maklumat dan dokumen yang diperolehi oleh beliau daripada sumber yang dipercayai,” kata kenyataan itu.
Peguam Tuan Ibrahim, Yusfarizal Yusof turut memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman, Avinder Gill Singh mengenai penyelesaian itu hari ini, dan mahkamah merakamkan penghargaan kepada kedua-dua pihak atas pertimbangan serius serta usaha mereka menamatkan pertikaian undang-undang berkenaan.