Saman terhadap Anwar Ibrahim berhubung kesahihannya sebagai perdana menteri dan anggota parlimen tidak mempunyai asas undang-undang dan tidak boleh dibicarakan di mahkamah, kata Amanah.
Menurut Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil, tindakan tersebut “non-justiciable” atau tidak boleh diputuskan oleh mahkamah.
“Ini adalah kerana apa-apa cabaran terhadap ketidaksahihan seseorang calon pilihan raya hendaklah dibuat melalui petisyen pilihan raya yang mana tempoh had masa telah berakhir iaitu 21 hari dari tarikh warta.
“Mahkamah pada peringkat ini tiada bidang kuasa untuk mendengar saman tersebut kerana peruntukan khusus undang-undang mengatasi undang-undang umum (generalia specialibus non derogant),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca: Waytha seret Anwar ke mahkamah, dakwa tak sah jadi PM
Tambah Faiz, pengampunan penuh yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada presiden PKR itu juga mengukuhkan kedudukannya sebagai anggota parlimen.
Faiz berkata, kemenangan Anwar dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson juga tidak pernah dicabar dan kekal sah di sisi undang-undang.
“Ini adalah prinsip undang-undang mantap (trite law) bahawa seseorang tidak boleh menyangkal apa yang telah diterima dan dimanfaatkan sebelum ini (the principle of approbate and reprobate),” katanya.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy mengumumkan bahawa dia telah memfailkan saman pemula terhadap Anwar, mendakwa statusnya sebagai anggota parlimen dan perdana menteri melanggar Perlembagaan.
Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Waytha memohon pengisytiharan bahawa kehilangan kelayakan Anwar sebagai ahli Dewan Rakyat “tidak pernah dibatalkan” oleh Agong mengikut Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan.
Waytha turut memohon mahkamah mengisytiharkan kemenangan Anwar di kerusi parlimen Tambun pada PRU15 serta pelantikannya sebagai perdana menteri kemudiannya terbatal dan tidak sah.
Menurutnya, Perkara 48(3) memerlukan pembatalan secara nyata oleh Yang di-Pertuan Agong, dan tanpa pembatalan itu, Anwar kekal hilang kelayakan sehingga 15 Mei 2023, termasuk ketika bertanding di parlimen Tambun pada November 2022.

Dia juga menuduh Anwar “secara palsu merepresentasikan dirinya” sebagai layak memegang jawatan perdana menteri ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas PRU15.
Dia mendakwa walaupun Anwar menerima pengampunan penuh pada 16 Mei 2018, instrumen pengampunan itu tidak membatalkan pembatalan kelayakan bawah Perkara 48(1)(e).
Sementara itu, Faiz juga menegaskan bahawa pelantikan Anwar sebagai perdana menteri adalah kuasa mutlak Agong sebagaimana diperuntukkan bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Pelantikan ini tidak boleh dicabar di mahkamah, sepertimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar Jamaluddin,” katanya lagi.
Faiz menyeru rakyat supaya tidak terpengaruh dengan percubaan pembangkang yang disifatkan sebagai “terdesak” dalam mencetuskan ketidakstabilan politik dengan menunggang isu ini.
“Rakyat perlu memberikan tumpuan untuk membantu kerajaan Madani pimpinan Anwar dalam memulihkan ekonomi negara. Saya yakin sistem kehakiman akan menilai saman ini dengan adil,” tambahnya.