Tindakan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, memfailkan saman pemula terhadap Anwar Ibrahim berhubung keabsahannya sebagai perdana menteri hanya membuang masa mahkamah.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menegaskan pertikaian keabsahan Anwar sebagai ahli parlimen dan perdana menteri hanya boleh dibuat melalui petisyen pilihan raya selepas 21 hari dari pengumuman kemenangannya sebagai wakil rakyat.
“Pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada yang amat berhormat Tambun, menyeluruh, sempurna tidak boleh disoal kerana dia adalah pengampunan menyeluruh 100 peratus tidak perlu mendapatkan apa-apa penjelasan bertulis.
“Sepatutnya pihak yang mencabar itu memfailkan satu petisyen pilihan raya bukan saman pemula di bawah Seksyen 32 (e) dan petisyen itu wajib difailkan dalam tempoh 21 hari selepas Keputusan pilihan raya disiarkan dalam warta.
“Pada saya saman tersebut bolehlah kita tafsirkan dalam istilah bahasa undang-undang sesuatu yang mengaibkan, sesuatu yang remeh atau menyusahkan,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, mahkamah tidak sepatutnya melayan saman yang dikemukakan oleh Waytha itu.
Sebelum ini, Waytha memaklumkan dia telah memfailkan saman pemula terhadap Anwar, mendakwa statusnya sebagai anggota Parlimen dan perdana menteri melanggar Perlembagaan.
Melalui saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Waytha memohon pengisytiharan bahawa kehilangan kelayakan Anwar sebagai ahli Dewan Rakyat “tidak pernah dibatalkan” oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan.
Waytha turut memohon mahkamah mengisytiharkan kemenangan Anwar di kerusi parlimen Tambun pada PRU15 serta pelantikannya sebagai perdana menteri kemudiannya terbatal dan tidak sah.
Menurutnya, Perkara 48(3) memerlukan pembatalan secara nyata oleh Yang di-Pertuan Agong dan tanpa pembatalan itu, Anwar kekal hilang kelayakan sehingga 15 Mei 2023, termasuk ketika bertanding di parlimen Tambun pada November 2022.
Dia juga menuduh Anwar “secara palsu merepresentasikan dirinya” sebagai layak memegang jawatan perdana menteri ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas PRU15.
Waytha mendakwa walaupun Anwar menerima pengampunan penuh pada 16 Mei 2018, instrumen pengampunan itu tidak membatalkan pembatalan kelayakan bawah Perkara 48(1)(e).