Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh belum reda meluahkan kemarahan berhubung insiden Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik.
Kali ini, Adun Merlimau itu secara sinis menyoal tahap kewarasan individu terbabit dalam kejadian terbaru yang tular di media sosial.
Pada sebuah video yang dimuat naik ke akaun media sosialnya, Akmal merujuk tindakan seorang lelaki yang dirakam memegang Jalur Gemilang terbalik sambil bergambar.
“Saya nak tanya, orang ni OKU juga ke, sampai minta orang ambil gambar dia angkat bendera secara terbalik?” katanya.
Sebelum ini, Akmal dikecam hebat kerana menyindir pengkritiknya layak diberikan status OKU, susulan kontroversi bendera terbalik di sebuah sekolah vernakular di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Adun Lukut, Choo Ken Hwa dilaporkan berkata bendera itu tersilap dinaikkan oleh seorang pekerja berkeperluan khas.
Akmal kemudian membalas dengan gesaan tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab dan mendesak pihak berkuasa menyiasat dakwaan Choo bahawa insiden itu berpunca daripada kesilapan pekerja berkenaan.
Akmal turut mempertahankan dirinya daripada kritikan Pemuda DAP (Dapsy) yang menuduhnya menghina komuniti OKU. Tegasnya, sindiran berkenaan ditujukan kepada Dapsy, bukannya komuniti OKU secara keseluruhan.
Mengulas insiden terbaru di Pulau Pinang, Akmal berkata dia telah mengarahkan Pemuda Umno negeri itu dan semua bahagian di seluruh negara membuat laporan polis bermula malam ini.
“Kita desak kerajaan kenakan tindakan kepada petualang yang tak tahu nak menghormati bendera Malaysia dan juga menghormati negara ini,” tegasnya.
Dia turut mengecam pihak yang mempertahankan individu terlibat dan menyifatkan mereka sebagai ‘bengap’.
“Bolehlah tuduh lepas ni Akmal menghina orang bengap, samalah macam kau yang bengap,” katanya.
Insiden bendera terbalik di Pulau Pinang itu menjadi tular selepas pengguna Facebook, Nazirul Hafiz memuat naik video berdurasi 20 saat memaparkan kejadian berkenaan.
Video tersebut menerima 2,400 tanda suka, 3,600 komen, dan 5,400 perkongsian.
Kejadian di Pulau Pinang ini yang keenam membabitkan pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk satu kes melibatkan Kementerian Pendidikan.