Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu terdapat pengeluaran wang berjumlah RM250,000 daripada akaun bank sebuah syarikat, berkaitan perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pengurus RHB Bank Cawangan Jalan Tengku Ampuan Zabedah, Shah Alam, Nurzaiti Wahid, 41, berkata berdasarkan penyata bank antara 1 hingga 31 Dis 2020, transaksi itu dikesan daripada akaun Nexuscorp Two Sdn Bhd pada 16 Dis 2020.
Beliau mengesahkan cek asal RHB Islamic Bank milik syarikat itu berjumlah RM250,000 bertarikh sama yang diterima bank berkenaan.
Saksi pendakwaan pertama itu berkata demikian menerusi pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Sayed Amir Muzzakkir Al Syaed Mohamad, 42, yang berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan jumlah keseluruhan RM350,000.
Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM350,000 daripada Wan Azhar Mohamed Yusof selaku Pengarah Urusan Nexuscorp Group Sdn Bhd.
Ia sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastuktur, Server, Perisian Dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM381,112,042.44.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di Kuala Lumpur, pada 4 petang, 4 Dis 2020 dan 3.30 petang 16 Dis 2020.
Sayed Amir Muzzakkir juga menghadapi satu pertuduhan meminta suapan wang tunai RM350,000 daripada individu sama untuk tujuan serupa di pejabat Nexuscorp Group Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, Shah Alam pada 4 petang awal Disember 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan Jia Qi manakala tertuduh diwakili peguam Md Yunos Shariff dan Asmadi Hussin.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.
– Bernama