Malaysia Oversight

Saksi penting kes rasuah mohon perlindungan polis

By MkiniBM in August 7, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Seorang saksi penting dalam perbicaraan kes rasuah yang mengalami kecederaan di tangan dan mulut akibat kejadian samun berkumpulan semalam, G Gnanaraja, akan memohon perlindungan rasmi di bawah program perlindungan saksi.

Peguam saksi terbabit, RT Rajasekaran, berkata pihaknya akan menghantar surat permohonan rasmi kepada polis sementara siasatan penuh dijalankan berhubung insiden serangan baru-baru ini.

“Kes ini masih dalam siasatan dan kami bimbang ia mempunyai kaitan dengan peranan anak guam saya sebagai saksi penting pendakwaan dalam kes rasuah yang sedang berlangsung di mahkamah.

“Kami percaya polis akan menjalankan tugas dengan profesional dan kami menyeru agar tiada spekulasi atau naratif awal dibuat sebelum siasatan selesai,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Gnanaraja memohon agar polis memberikan perlindungan kepada keluarganya dia dengan mengambil kira ugutan yang diterima semasa kejadian serangan yang berlaku beberapa hari lalu.

Dia berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi semalam, sekumpulan individu bertopeng dan bersenjatakan parang memecah masuk rumahnya semasa dia hendak keluar bekerja.

“Seorang daripada individu yang menceroboh masuk ke rumah telah melibas parang ke arah mulut dan tangan saya, serta memberi ugutan supaya jangan buka mulut dan jangan menjadi hero.

“Dalam kejadian itu terdapat juga beberapa barang peribadi telah dibawa lari oleh mereka.

“Saya baru saja memberi keterangan sebagai saksi pada 22 Julai lepas dan dijadualkan akan menyambung keterangan pada 19 Ogos ini berkaitan kes melibatkan bekas ketua menteri.

“Selepas kejadian itu, saya dan keluarga berada dalam ketakutan,” katanya sambil memaklumkan menerima rawatan serta lima jahitan di tangan kiri di sebuah hospital swasta.

Selain itu, Gnanaraja turut meminta pihak polis menjalankan siasatan penuh dan telus berhubung insiden tersebut.

Semalam, polis mengesahkan kecederaan di tangan dan mulut dialami seorang ahli perniagaan adalah akibat kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Bukit Gasing, Petaling Jaya, dan tiada kaitan dengan kes mahkamah itu.

Bernama



Source link