Malaysia Oversight

Saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Guan Eng diserang

By MkiniBM in August 6, 2025 – Reading time 2 minute
Saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Guan Eng diserang


Seorang saksi penting pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng diserang oleh beberapa individu awal hari ini di rumahnya.

Sumber yang rapat dengan perbicaraan memberitahu Malaysiakini bahawa mangsa telah diugut secara lisan sebelum diserang secara fizikal.

de476907b3698f97c06ee615cf5ba0e0

Ketika dihubungi, ketua pendakwa raya Wan Shahruddin Wan Ladin mengesahkan kejadian itu dan berkata pasukannya sedang menunggu arahan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengenai tindakan seterusnya, termasuk kemungkinan mendapatkan perlindungan mahkamah terhadap mangsa.

Dia juga berkata perkara itu akan dibangkitkan pada prosiding mahkamah akan datang pada 19 Ogos.

Sementara itu, New Straits Times melaporkan terdapat 10 penyerang, dan mereka telah mengikat dua pengawal keselamatan sebelum memasuki rumah mangsa.

“Penyerang juga memberi amaran kepadanya supaya duduk di rumah dan tidak menjadi wira,” petik NST.

Mangsa mengalami pelbagai kecederaan di muka dan tangan.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar mengesahkan kejadian seorang ahli perniagaan dipercayai diserang di kediamannya di Petaling Jaya, pagi tadi.

Katanya, polis menerima laporan kejadian pada 7.20 pagi.

Dia berkata satu kenyataan media akan dikeluarkan berhubung kejadian terbabit dalam masa terdekat.

“Dipercayai suspek melibatkan antara empat hingga lima orang… pasukan siasatan masih di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

a91da0139100fa213c3208578e58906d
Lim Guan Eng

Lim kini dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah membabitkan rancangan pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang dan projek jalan berkembar yang menghubungkan pulau itu ke tanah besar.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu bagi memperoleh RM3.3 juta melalui suapan kewangan sebagai dorongan untuk melantik Consortium Zenith Construction Sdn Bhd melaksanakan projek bernilai RM6,341,383,702 itu.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa meminta bekas pengarah syarikat itu, Zarul Ahmad Zulkifli, 10 peratus keuntungan sebagai ganjaran membantu syarikatnya mendapatkan projek itu.

f3f0316e5885987b0d2983e69a11083c
Zarul Ahmad Zulkifli

Dia dikatakan melakukan kesalahan itu di Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur, antara 12.30 pagi dan 2 pagi pada Mac 2011.

Dia juga berdepan dua pertuduhan melupuskan secara tidak jujur dua bidang tanah milik Pulau Pinang di Bandar Tanjong Pinang bernilai RM208 juta kepada pemaju projek terowong itu, yang didakwa berlaku di Pejabat Tanah dan Galian Negeri di Komtar pada 17 Feb 2015, dan 22 Mac 2017.

[Baca berita penuh]



Source link