Malaysia Oversight

Saksi kanak-kanak cari diari Zara Qairina di bilik asrama

By TheSun in November 5, 2025 – Reading time 2 minute
spot_img


Saksi kanak-kanak beri keterangan cari diari Zara Qairina di bilik asrama, sempat belek sebelum serah kepada guru dalam inkues kematian remaja.

KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa dia menawarkan diri membantu guru mencari diari milik Zara Qairina Mahathir di bilik asrama remaja itu.

Saksi kanak-kanak ke-28 yang sebilik dengan Zara Qairina memberikan keterangan pada hari ke-32 prosiding inkues kematian remaja berkenaan.

Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata saksi memaklumkan lebih kurang 11.15 pagi pada 16 Julai lepas, dia bersama pelajar senior, junior dan guru berkumpul di surau sekolah.

Beliau berkata beberapa pelajar memberitahu guru bahawa Zara Qairina menulis dan menyimpan diari, tetapi tiada yang berani menawarkan diri mencarinya.

Saksi kemudian bersama seorang guru perempuan pergi ke blok asrama Zara Qairina, tetapi hanya saksi yang naik ke bilik pelajar itu.

Guru berkenaan menunggu di aras bawah sementara saksi masuk ke dalam bilik Zara Qairina.

“Saksi cuba membuka beberapa almari pelajar, tetapi semua berkunci kecuali satu yang dipercayai milik Zara,” kata Mohd Syarulnizam.

Saksi membuka almari itu dan mengecam ada baju bergantung di dalamnya dengan tanda nama Zara.

Beliau berkata saksi memeriksa satu beg berwarna hitam dan di dalam poket besar beg itu menjumpai dua diari.

Satu diari berwarna hijau bertulis “Love & Peace” dan satu lagi berwarna ungu bertulis “Simple Style”.

Mohd Syarulnizam berkata saksi mengesahkan hanya dia seorang berada di dalam bilik Zara Qairina pada ketika itu.

Saksi mengakui sempat membelek kedua-dua diari berkenaan tanpa membaca kandungannya dengan teliti.

Saksi kemudian menyerahkan diari itu kepada seorang guru perempuan setelah kembali ke surau.

Guru tersebut membaca sebahagian kandungan diari di hadapan pelajar lain sebelum menyimpannya.

“Saksi menyatakan dia tidak tahu apa tujuan sebenar mereka diminta mencari diari itu,” kata Mohd Syarulnizam.

Saksi juga tidak mengetahui atau ingat sama ada Zara Qairina menulis sebarang nota khusus di dalam diari.

Peguam itu menambah saksi merupakan ahli kumpulan pelajar Circle Nineteen dan tidak mempunyai konflik dengan Zara Qairina.

Sementara itu, peguam Datuk Ram Singh berkata pelajar itu memberitahu tidak menyaksikan sebarang kejadian pada malam 16 Julai.

Saksi hanya terbangun daripada tidur kira-kira 4.50 pagi untuk bersiap ke sekolah.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.

Remaja itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.

Prosiding inkues bersambung esok. – Bernama


Post Views: 1



Source link