
KOTA KINABALU: Seorang pelajar senior memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa dia tidak percaya terhadap tuduhan Allahyarham Zara Qairina Mahathir mencuri.
Saksi kanak-kanak ke-16 itu menggambarkan remaja berkenaan sebagai seorang yang ceria, aktif dan suka membantu rakan-rakan.
Peguam Rizwandean M. Borhan yang mewakili ibu Zara Qairina berkata saksi menyifatkan Zara sebagai pelajar yang menghormati senior.
“Saksi berkata dia merasakan Zara kurang digemari oleh beberapa pelajar di asrama, kerana ada yang memberi gelaran ‘Zara yang problem itu’ kerana menuduh Zara mencuri,“ kata Mohd Rizwandean kepada pemberita selepas prosiding.
Saksi turut mendedahkan budaya memarahi dan memaki pelajar junior oleh pelajar senior wujud di asrama berkenaan.
Beliau berkata saksi dilihat sebak dan menangis apabila mengenang kembali pengalaman pahit semasa menjadi pelajar junior.
“Saksi sangat terkesan sehingga hari ini kerana pelajar senior kerap menyindirnya, apabila bertemu di kawasan sekolah,“ katanya.
Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang kanak-kanak dalam kes buli berkongsi keterangan saksi kanak-kanak ke-17.
Saksi itu pernah melihat bekas torehan menyerupai parut “kod bar” pada lengan Zara Qairina ketika mereka berada di tandas asrama.
“Dia (saksi) cakap, dia tidak tahu kenapa. Dia tidak mahu bertanya kenapa, tetapi dia tahu apa itu ‘kod bar’,“ kata Ram kepada pemberita.
Saksi berkenaan juga mengesahkan pernah membaca diari milik Zara dengan kebenaran mangsa.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya.
Prosiding inkues bersambung Rabu. – Bernama






