Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail meminta semua pihak menghormati proses dalam siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang kini dalam penilaian Jabatan Peguam Negara (AGC).
Saifuddin berkata proses yang sedang berjalan adalah perkara biasa dan dia yakin pengamal undang-undang tahu akan prosedur itu.
Katanya lagi, dia tidak ingin berada dalam polemik berhubung siasatan yang dibuat sempurna atau tidak, dan menyerahkannya kepada Peguam Negara (AG).
“Apabila polis selesaikan tugas mereka, maka polis serah (kertas siasatan) kepada AG dan proses itu biar berlaku dululah.
“Kita beri ruang kerana polis telah jalankan (tugasnya). Kalau tidak orang kata ‘kenapa lambat sangat?’ Bila dah kita siap (mereka kata) ‘kenapa terlalu cepat? Ada lagi kelemahan’. Ia tak akan selesai,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Program i-Deen Kepulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Ibu Pejabat AADK di Kajang, hari ini.
Semalam, AGC memaklumkan pihaknya sedang menyemak laporan siasatan awal menyeluruh daripada polis.

Menurut AGC, laporan itu telah diserahkan pada 3 dan 4 Ogos di pejabatnya di Sabah serta ibu pejabat di Putrajaya.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili ibu Zara Qairina Mahathir dalam surat kepada AGC mengemukakan empat tuntutan kepada pihak berkuasa, antaranya agar jenazah Zara digali semula bagi mengenal pasti punca kematiannya, serta satu inkues dibuat bagi mengenal pasti jika ada unsur jenayah dalam kematiannya.
Dalam kenyataan bersama hari ini, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri menyifatkan siasatan polis terhadap kematian Zara sebagai “fokus yang terhad dan skop yang sempit”.
“Kami merasakan polis tiada bahan bukti mencukupi untuk menyiasat perkara ini secara berkesan, memandangkan mereka tiada laporan bedah siasat, mahupun pakaian dan barangan peribadi Zara,” kata mereka.
Saifuddin berkata lagi, AGC akan mengembalikan kertas siasatan kepada polis jika mendapati ia ada kelemahan.
“Biar kita hormat prosesnya dulu. Prosesnya adalah apabila AG sudah keluarkan pendataan, mereka akan teliti. Kalau ada kecacatan pada satu kertas siasatan, AG akan kembalikan kepada pihak polis untuk diperkemaskan.
“Saya ingat peguam pun tahu proses itu,” katanya lagi.
Zara ditemukan cedera parah di kawasan asrama sekolahnya sekitar jam tiga pagi pada 16 Julai lalu.
Laporan awal menyatakan dia jatuh dari tingkat tiga asrama. Zara meninggal dunia sehari kemudian ketika dirawat di hospital.
Polis tidak menolak kemungkinan ada unsur buli dan telah merujuk kes itu ke Bukit Aman untuk analisis yang lebih menyeluruh.
Sementara itu, mengulas mengenai pertukaran anggota dan pegawai agensi bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Saifuddin berkata ia adalah prosedur biasa.
Katanya, ia langkah berkesan untuk mengurangkan serta mengatasi isu-isu integriti.
“Di peringkat KDN kami terbuka dengan pendekatan yang sama. Maksudnya ada 10 agensi di bawah kami.
“Misalnya pegawai daripada AADK pergi ke imigresen atau imigresen datang ke AADK adalah perkara biasa,” katanya lagi.