KUALA TERENGGANU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ditugaskan sebagai Menteri Pengiring kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Beliau berkata, tugasan itu adalah sebahagian daripada prosedur protokol rasmi apabila ketua kerajaan luar mengadakan lawatan ke Malaysia yang mana Wisma Putra melantik seorang menteri Kabinet mengiringi tetamu berkenaan sepanjang tempoh lawatan mereka.
“Biasanya bila ketua kerajaan datang ke negara kita, Wisma Putra tugaskan seorang menteri sebagai pengiring. Dalam susunan kali ini, saya ditugaskan mengiringi Presiden Amerika,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-77 dan Peluncuran Sekolah Angkat Madani Jabatan Pendaftaran Negara di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malik, di sini hari ini.
Saifuddin berkata, peranan itu hanya bersifat protokol semata-mata tanpa sebarang pembabitan dalam hal dasar atau diplomatik.
“Tiada isu yang akan dibahaskan sebab saya hanya ditugaskan untuk mengiring sepanjang beliau berada di sini. Kita tidak berpartisipasi dalam proses perundingan kerana ia dikendalikan sepenuhnya oleh Perdana Menteri dan juga pimpinan negara-negara lain,” ujarnya.
Menurutnya, pelantikan menteri pengiring bukan perkara luar biasa kerana ia adalah amalan biasa dalam tatacara diplomatik antarabangsa yang turut melibatkan semua ketua kerajaan yang berkunjung ke Malaysia.
“Bukan sahaja Presiden Amerika Syarikat tetapi mana-mana pemimpin atau ketua negara lain seperti Sultan Brunei juga mempunyai menteri pengiring masing-masing. Dalam susunan kali ini, saya ditetapkan untuk mengiringi Presiden Amerika,” katanya.
Saifuddin berkata, beliau turut menggunakan hubungan peribadi dengan wakil Presiden Trump ke Timur Tengah bagi membantu usaha pembebasan aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza baru-baru ini.
Menurutnya, individu tersebut ialah Steve Witkoff yang dihubunginya bagi memudahkan proses komunikasi dan rundingan dengan pihak berkaitan.
“Ya, seperti yang disebut oleh Perdana Menteri ada seorang lagi individu berpengaruh yang membantu dan beliau adalah Steve Witkoff. “Saya gunakan sedikit hubungan itu untuk menghubungi beliau bagi memudahkan urusan pembebasan (aktivis). Namun kredit sepenuhnya tetap kepada Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri,” katanya. – UTUSAN





