Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah dilaporkan akan menghadiri sesi siasatan bersama Lembaga Disiplin Bersatu pada Khamis, susulan dakwaan penglibatannya dalam gerakan menggugat kedudukan Presiden parti Muhyiddin Yassin.
Menurut Saifuddin, pertemuan itu akan berlangsung jam 2 petang pada 6 November 2025 di Ibu Pejabat Bersatu, Petaling Jaya.
“Pada kira-kira jam 1.52 petang Ahad, saya telah menerima notis untuk saya menghadiri sesi perjumpaan Bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Lembaga Disiplin pada 6 November jam 4.30 petang di Petaling Jaya.
“Oleh kerana pada tarikh itu, di sebelah malamnya saya ada program di luar Kuala Lumpur, saya minta sesi itu diawalkan dan Lembaga Disiplin bersetuju ditukar ke 2 petang,” katanya seperti dipetik Astro Awani hari ini.

Terdahulu, Saifuddin berkata dia sedia berdepan sebarang tindakan disiplin terhadapnya kerana mendesak Muhyiddin berundur.
Bahkan katanya, Muhyiddin juga pernah mendesak bekas presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi berundur ketika di dalam Umno suatu masa dahulu.
“Ini risiko yang terpaksa dihadapi, saya bersedia, sebab pada saya, saya tak buat apa-apa…meminta presiden berundur tidak menyalahi perlembagaan (Bersatu).
“Dalam Perlembagaan Malaysia hak bersuara dijamin dan Muhyiddin sendiri pernah minta Pak Lah berundur, jadi apa masalah dia,” katanya lagi.

Sebelum ini, Saifuddin bersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli digugurkan daripada jawatan sebagai Pengerusi PN negeri masing-masing — Pahang dan Perlis — pada 27 Oktober lalu.
Perkembangan itu berlaku di tengah siasatan dalaman Bersatu terhadap beberapa pemimpin parti yang dikaitkan dengan gerakan menentang kepimpinan Muhyiddin.
Pada minggu sebelumnya, tiga Ketua Bahagian Bersatu turut dipanggil lembaga disiplin parti bagi membantu siasatan berhubung dakwaan serupa.
Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Timur, Mohd Fadhli Ismail dipetik media tempatan berkata individu yang dipanggil termasuk Adun Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; Ketua Bahagian Sepang, Mohd Suhaimi Ghazali dan Ketua Bahagian Puchong, Mohd Shukor Mustafa.

Semalam tular satu surat yang dihantar kepada Muhyiddin sebagai luahan rasa kebimbangan terhadap tindakan disiplin yang dikenakan terhadap tiga ahli parlimen Bersatu.
Surat yang ditandatangani 16 ahli parlimen Bersatu itu membantah tindakan Lembaga Disiplin Bersatu terhadap Wan Saiful dan Wan Fayhsal, serta tidak bersetuju untuk lembaga itu memanggil Hamzah.
Untuk rekod Hamzah mengambil keputusan untuk tidak hadir ke prosiding lembaga disiplin parti.
Enam belas ahli parlimen Bersatu yang menandatangani surat berkenaan termasuk Saifuddin (Indera Mahkota); Khlir Mohd Nordan (Ketereh); Muhammad Islahuddin Abas (Mersing); Fathul Huzir Ayob (Gerik); Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu); Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Abdul Khalib Abdullah (Rompin); Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Zakri Hassan (Kangar).
Turut menandatangani surat itu, Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Muslimin Yahaya (Sungai Besar); Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah); Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu); Azahari Hasan (Padang Rengas); Kalam Salan (Sabak Bernam); dan Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok).
Menurut surat berkenaan, tindakan memecat Wan Saiful dan menggantung Wan Ahmad Fayhsal adalah tidak bijak mengganggu momentum sokongan rakyat selain boleh menggugat usaha Perikatan Nasional (PN) mencapai kemenangan dalam PRN Sabah.






